Friday, January 18, 2008

KEWAJIPAN PEMUDA ISLAM

Artikel ini dipetik daripada ceramah Abul A’la Al-Maududi yang disampaikan di Makkah pada musim Haji tahun 1381H (Mei 1962) yang kemudiannya dibukukan dalam bahasa Arab dengan tajuknya “ واجب الشباب المسلم اليوم ” - Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini.

1. Pertama kali saya harus memperkenalkan hakikat Islam dengan secara terperinci, agar anda semua benar-benar menjadi muslim, baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun dari segi fikiran. Juga agar anda benar-benar menjadi muslim dari segi hati dan perasaan, supaya anda mendapat sebesar-besar habuan daripada kemampuan yang cukup lengkap dan berada di dalam kelengkapan yang pasti untuk melaksanakan kerja kemasyarakatan di zaman sekarang yang sesuai dengan perundangan dan ajaran Islam..

2. Anda semua mesti segera memperbetulkan budipekerti yang telah menyeleweng, memperbaiki adat yang telah rosak sehingga anda dapat memperlihatkan perkara secara praktikal bagi Islam seperti mana datuk nenek kita telah memperlihatkannya pada masa lampau. Hendaklah anda semua mengetahui bahawa percanggahan antara perkataan dengan amalan itu akan menuumbuhkan bibit-bibit nifaq dalam jiwa. Ia akan menghilangkan kepercayaan. Sesungguhnya kejayaan akan bergantung kepada kejujuran dan niat anda, benar di dalam keazaman dan keselarasan di antara amalan anda dengan perkataan anda. Sesungguhnya seseorang yang berkata apa yang ia tidak lakukan akan mendatangkan kemudaratan

besar terhadap dakwahnya.

Firman Allah :

یَاأَیُّهَا الَّذِینَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ *

آَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu berkata barang

yang kamu tidak buat. Besarlah kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu berkata

barang yang kamu tidak buat. ( Surah Al-Sof : 2-3 )

3. Janganlah anda merasa sayang untuk mencurahkan segala apa yang anda mampu melalui fikiran dan tenaga bekerja yang Allah kurniakan kepada anda untuk berdakwah. Samada dengan tulisan atau dengan ucapan. Hendaklah anda mengkaji asas-asas tamaddun barat dan mengkritik serta membezakan di antara asas yang silap dengan yang betul. Anda perlu dapat membebaskan fikiran dan jiwa orang Islam dari meniru orang-orang barat. Anda hendaklah mampu menghancurkan berhala-berhala dan teori-teori barat kerana teori ini telah banyak menipu segolongan orang-orang Islam sejak zaman berzaman. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut yang lain pula hendaklah anda bertugas menyusun dan membentangkan undang-undang Islam yang bersangkutan dengan kehidupan manusia dengan cara-cara yang paling munasabah dan mudah dalam mempraktikan supaya dapat menarik dan meyakinkan generasi baru bahawa undang-undang Islam itu adalah betul dan baik. Anda hendaklah mampu meyakinkan mereka bahawa jika mereka mengamalkan sistem Islam mereka bukan sahaja akan maju ke depan, malah

mereka akan mendahului bangsa lain dalam semua cabang kehidupan. Sesungguhnya makin luas daerah kegiatan kerja anda dan makin betul dengan manhaj Islam maka makin bertambah banyaklah bilangan pendakwah, bilangan pendokongnya dan bilangan orang yang berpengaruh dengannya di dalam tiap perjuangan hidup. Dan tugas anda ini hendaklah diteruskan untuk jangka masa yang panjang hingga tiba suatu hari, di mana akan lahir kumpulan manusia yang ramai, yang beriman dengan tugas dakwah dan bergabung di bawah panji dakwah Islamiyyah. Kumpulan ini sangat kita perlukan untuk mengikat bangunan negara di atas tiang-tiang seri yang berlandaskan Islam. Termasuk di dalam perkara sia-sia sekiranya kita mengira bahawa perubahan Islam secara lengkap dan sempurna boleh wujud dengan tidak didahuluinya oleh persiapan yang cukup. Jika di takdirkan perkara itu berhasil juga dengan tiada persiapan yang cukup lengkap maka perkara itu tidak akan tahan lama dan terasnya tidak akan bertapak kukuh di bumi.

4. Hendaklah anda gabungkan tiap-tiap orang yang berminat dengan dakwah Islamiyah kepada usrah dan kumpulan anda. Hendaklah anda menyusun orang-orang yang ada di kalangan mereka dalam satu jemaah yang kuat, yang mempunyai disiplin yang kukuh dan mempunyai perlembagaan yang utuh hingga kelemahan dan kelonglaian tidak boleh menyelit dicelah barisan anda. Sesungguhnya semata-mata membentuk jemaah di kalangan manusia yang telah bersetuju dengan dasar tertentu tanpa ada penyusunan yang licin, kukuh dan segala gerak kerjanya di tolak oleh perasaan taat dan patuh, maka itu adalah pekerjaan yang cacat tidak akan membuahkan natijah. Ini telah dibuktikan oleh pengalaman dan pengajaran yang telah lepas. Orang yang berpengalaman sahaja dapat menjelaskan kepada anda.

5. Begitu juga anda mesti bekerja keras menyebar dakwah di kalangan orang-orang awam hingga anda boleh menyingkap kabus kejahilan mereka. Anda jadikanlah mereka itu terang benderang mengenai agama mereka, sehingga mereka dapat membezakan di antara yang buruk dari yang baik. Demikian juga anda mesti bekerja keras memperbaiki budi pekerti mereka, meninggikan taraf pemikiran dan fahaman mereka terhadap Islam supaya mereka dapat berdiri tegak dan teguh dalam menghadapi serangan ideologi, seruan kepada maksiat dan kefasikan yang sedang bermaharaja lela di negeri-negari Islam, dengan dibantu dan dokongan dari kerajaan yang telah rosak. Ini adalah penting kerana :

-Bumi yang rakyatnya telah mempertuhankan syahwat dan kelazatan hidup tidak boleh menjadi bumi yang baik untuk dibangunkan negara Islam,

-Bila lahirnya sikap pura-pura dan merebaknya kejahatan yang menyeluruh di kalangan umum manusia, mustahillah untuk dibangunkan dasar dan undang-undang Islam di kalangan para pendusta, pengkhianat dan orangorang fasik. Sejauh mana mereka boleh hidup dengan dasar dan sistem kafir maka sejauh itulah mereka tidak boleh hidup dengan dasar dan sistem Islam.

6. Jangan anda cuba membangun dasar-dasar Islam di atas asas yang tidak sihat, di atas tiang seri yang lemah dan di atas tunjang yang bergoyang. Anda mesti bersabar dahulu di dalam masalah ini, kerana matlamat yang mahu kita capai itu ialah matlamat yang besar, yang bertujuan membaiki nilai-nilai kemanusiaan, memberikan fahaman kepada manusia dan mengembalikan mereka ke kandang Islam sesudah mereka berada di dalam kemurtadan sejak beberapa lama. Kerja-kerja yang baik seperti ini memerlukan keteguhan dan kesabaran dan pemikiran yang matang. Anda pasti menghayung langkah kedepan dan tiap langkah mesti berwaspada, bijaksana dan berhati-hati. Dan jangan anda terlalu cepat menghayung langkah baru sebelum anda mengulangi hasil langkahan anda dahulu serta menganalisa natijahnya : Adakah langkahan itu berjalan di atasjalan yang telah digariskan, adakah ia memberi natijah yang diharapkan. Antara hakikat yang mesti diterima ialah gopoh gapah itu adalah suatu perkara yang tidak selamat akibatnya. Contohnya - kita menyertai di dalam suatu kementerian yang tidak betul dan tidak beriman dengan dengan dasar-dasar kita - Harapan kita menyertai di dalam kementerian itu akan memberi suatu langkah yang boleh mendekatikepada tujuan-tujuan kita. Tetapi itu adalah perkara yang salah kerana pengalaman lalu membuktikan bahawa usaha yang seumpama ini tidak akan membuahkan natijah yang baik, kerana orang yang memegang teraju pemerintahan, merekalah yang menetapkan polisi pemerintahan dalam dan luar negerinya dan menyelenggarakan polisi pemerintahan itu berdasarkan kepentingan dan nafsu mereka. Penyertaan kita bersama mereka dengan membawa tujuan yang baik, bersih dan mulia terpaksa berganding bahu dengan mereka dan terpaksa menyesuaikan dengan perjalanan mereka. Ini memberi erti bahawa pada akhirnya kita akan jadi trompet dan alat mainan di tangan mereka, yang boleh mereka lakukan terhadap kita mengikut sesuka hati mereka.

read more...

Taktik Musuh Islam

Artikel ini dipetik daripada buku “ واجب الشباب المسلم اليوم ” - Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini karya Abul A’la Al-Maududi.

PERTAMA : Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan . Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu. Atau mereka akan jadikan orang-orang yang berkelulusan menurut sistem pelajaran kita tidak ubah seperti barang yang tidak berharga dan seperti suatu benda yang hanya layak ditempatkan di dalam tong sampah.

KEDUA : Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara.

Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu. Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam menggunakan taktik ini.

KETIGA : Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agong dan tamaddun mereka yang hebat. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikiran nya sehingga cara-cara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kacamata materialisma barat. Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

read more...