Sunday, May 31, 2009

Save Palestine Wallpaper

read more...

Menghayati Tanda kekuasaan Allah

read more...

Behold! My 1st masterpiece

Assalamualaikum,

Sekarang ni ana masih di UTP atas beberapa tugas penting yang perlu disiapkan. Mungkin akan pulang esok pagi setelah menyiapkan tugas-tugas tersebut. Namun terlalu banyak masa senggang yang amat membosankan.... adeh... jadi, ana mengambil peluang ini untuk belajar beberapa trick photoshop secara 'google'... hehe... lama dah nak belajar, agak minat la sebab nak lukis tak pandai... so, at least Allah dah bagi komputer, kita manfaatkanlah.... hasilnya... BEHOLD!




Amacam? Hehe... actually, telah diminta untuk design beberapa benda la untuk satu event kat utp ni. Padahal bukan power sangat pun. Tak pernah buat dan tak pernah diberi kepercayaan untuk buat. Tapi, sebab xde pape nak buat except keje cnp convofair sikit, so, buat. la.. terdorong la sikit untuk belajar trick2 yg advance. Tapi, takde niat la untuk 'commercialize' sebab ana lebih selesa dalam bidang lain... huhu.. enjoy it!


Powered by

read more...

Thursday, May 28, 2009

Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih bebaskan Kota Istanbul

Oleh: Dato' Husam Musa

Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole. Pada ketika ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah pun berada di Kota Istanbul untuk menghadiri sambutan ulangtahun upacara yang amat bersejarah ini.

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.

Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.

Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.

Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.

Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.

Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh.

Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.

Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?

Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.

Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.

Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.

Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.

Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!

Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:

Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.

Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.

Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.

Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.

Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.

Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.

Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih.

Dipetik dari HarakahDaily.net
read more...

Monday, May 25, 2009

Kelapangan Hati (Al-Insyirah)

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana memberi kesihatan aqal dan jasad untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun ke 2 semester 1 kejuruteraan kimia (ChemE) sehingga tamat kertas terakhir ‘Process Heat Transfer’ pukul 12 tengahari tadi. Walaupun diuji dengan sedikit demam beberapa hari yang lalu, namun Allah telah menggantikan kembali masa yang hilang kerana tidak sihat itu dengan daya akal serta ingatan yang tajam untuk menjawab soalan-soalan tadi sesuai dengan usaha yang telah diberi. Syukur sekali lagi atas sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim mu Ya Allah.

Sejenak merenung kehidupan ana pada semester ini, terlalu banyak cabaran yang datang melanda umpama badai. Detik-detik gembira dan sedih sentiasa berganti-ganti umpama roda. Sekejap di atas, kemudian di bawah pula. Teringat pada surah Al-Insyirah yang bermaksud kelapangan hati. Surah ini memperihalkan tentang berita gembira daripada Allah kepada Rasulullah di atas usaha serta penat lelah baginda di jalan dakwah yang begitu perit ini. Sesuai dengan mood pelajar ChemE yang baru tamat peperiksaan, marilah kita sama-sama mentadabbur surah ini.

1. Bukankah kami Telah melapangkan untukmu dadamu?,

Menurut Imam Ibnu Kathir, ayat ini bermakna ‘Kami (Allah) telah menerangi hatimu dan menjadikannya luasa dan besar’. Hal ini merujuk kepada Surah An-An’am ayat ke 125 yang bermaksud “Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam”.

2. Dan kami Telah menghilangkan daripadamu bebanmu,
3. Yang memberatkan punggungmu?

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini sebagai mengampunkan dosa masa lalu dan masa hadapan berdasarkan ayat berikut:

“supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus,” (Al-Fath: 2)

beban di sini juga ditafsirkan sebagai kesusahan-kesusahan yang diderita nabi Muhammad s.a.w. dalam menyampaikan risalah.

4. Dan kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu,

Merujuk kepada Kitab tafsir fi Dzilalil Quran karya Asy-Syahid Imam Syed Qutb, beliau menafsirkan ayat ini sebagaimana berikut:

“Yakni Kami angkatkan namamu di kalangan para Malikat al-mala'ul a'la, Kami angkatkannya di bumi dan di seluruh 'alam buana dan kerana itulah Kami gandingkan namamu dengan nama Allah setiap kali bibir manusia menyebut Laa ilaa ha illal laah, Muhammadar rasuu lullaah. Tidak ada lagi darjah yang setinggi dan semulia ini, itulah satu-satunya darjah yang hanya dicapai oleh Rasulullah s.a.w. di antara seluruh isi 'alam. Kami telah angkatkan namamu di dalam Lauh Mahfuz ketika Allah memutuskan supaya namamu disebut pada setiap zaman dengan ucapan doa, selawat dan taslim dan dengan perasaan kasih-sayang yang mendalam. Kami telah angkatkan namamu yang telah terikat dengan agama Allah yang luhur ini, kerana pemilihanmu untuk menyampaikan agama ini merupakan satu pengangkatan nama yang paling tinggi yang belum pernah dicapai oleh seseorang pun di 'alam buana ini baik sebelummu atau selepasmu. Oleh itu kesusahan, kepenatan dan keletihan tidak mempunyai tempat lagi dibandingkan dengan pengurniaan Allah yang besar yang boleh menghapuskan segala penderitaan itu.”

5. Karena Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
6. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Imam Syed Qutb menyatakan dalam kitab tafsirnya bahawa ayat ini diulang 2 kali kerana Rasulullah S.A.W. benar-benar memerlukan peringatan kepada bantuan Allah dan limpah kasihnya. Hal ini juga menunjukkan bahawa urusan Dakwah Rasulullah S.A.W sememangnya berat. Jadi, Rasulullah S.A.W. diyakinkan dengan satu hakikat sememangnya setiap kesukaran itu pasti disertai dengan kesenangan. Kesenangan sentiasa menemani kesukaran untuk meringankan tekanan.

7. Maka apabila kamu Telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain

Sebahagian ahli tafsir menafsirkan apabila kamu (Muhammad) telah selesai berdakwah, maka beribadatlah kepada Allah. Apabila kamu telah selesai mengerjakan urusan dunia, maka kerjakanlah urusan akhirat, dan ada lagi yang mengatakan. Apabila telah selesai mengerjakan solat, berdoalah.

8. Dan Hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

Imam Syed Qutb menyatakan dalam Tafsir fi Dzilalil Quran:

“Tumpukan seluruh perhatian dan minat kepada Tuhanmu semata-mata dan kosongkan hatimu dari segala sesuatu termasuk urusan orang ramai yang engkau da'wahkan mereka. Sudah tentu engkau memerlukan bekalan dan senjata. Di sinilah engkau akan mendapat bekalan untuk menempuh jalan da'wah, di sinilah engkau akan mendapat alat-alat senjata untuk kelengkapan berjihad. Di sinilah engkau akan menemui kesenangan dan kemudahan setiap kali engkau menempuh kesulitan dan kesukaran. Inilah jalan perjuangan da'wah.”

Ulasan:

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah diberi kelapangan dada untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Baginda telah diberi kemudahan untuk melaksanakannya tatkala berhadapan dengan ancaman kaum Quraisy. Sehinggakan baginda masih mampu mengecapi kegembiraan dan kebahagiaan sepanjang perjalanannya itu kerana baginda telah diperlihatkan dengan nikmat yang tak terbanding di akhirnya. Oleh itu, marilah kita sama-sama mencari ketenangan di sebalik perjuangan menegakkan agama Allah ini. Menuntut ilmu juga satu perjuangan. Malah, mati ketika menuntut ilmu dianggap syahid. Justeru, pasti ada kebahagiaan di sebaliknya sekiranya kita melakukan itu semua ikhlas kerana Allah dan jelas matlamat akhirnya.


Kita juga perlu yakin pada hakikat hidup yang Allah nyatakan bahawa sememangnya setiap kesukaran pasti disertai dengan kesenangan. Dan pastinya kehidupan sebagai mahasiswa penuh cabaran. Disebut oleh Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke 155:

“Dan sesungguhnya Kami akan uji kamu dengan sebahagian daripada ketakutan dan kelaparan dan kekurangan harta dan jiwa dan buah-buahan. Sampaikanlah berita baik kepada mereka yang sabar.”

Disebut lagi dalam surah Al-Ankabut ayat ke 2 hingga 3

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Jelas diberitakan oleh Allah kepada hambanya. Tiada yang akan terlepas daripada ujian. Justeru, bersabarlah kerana kemenangan bersama orang yang bersabar dan ingatlah penegasan daripada Allah dalam surah Al-Insyirah iaitu pasti segala kesusahan itu disertai dengan kesenangan. Bersabarlah dalam belajar, bersabarlah dalam menyiapkan projek, bersabarlah dalam menyiapkan assignment kerana pasti di hujungnya ada keuntungan. Disebut dalam buku Jalan Dakwah karya Mustafa Masyhur bahawa antara kesilapan kita ialah apabila menganggap sekiranya kita berada di jalan yang haq, nescaya Allah menolong kita dan kerana kesalahan kitalah kita ditimpa musibah sebegini. Janganlah bersikap seperti Firaun sahabatku. Sesungguhnya ini pengaruh jahat untuk melemahkan kita.

Seterusnya, setelah selesai peperiksaan ini sahabat-sahabat, marilah sama-sama kita meningkatkan lagi ibadah kepada Allah. Berdoalah sepenuh hati dan bertawakkal agar dikurniakan keputusan yang cemerlang, InsyaAllah. Janganlah pula kita terleka dengan benda-benda yang lagha. Takut-takut hilang berkat ilmu kita. Kita belajar bukan untuk menjawab peperiksaan semata-mata, tapi untuk menyumbang kepada kemajuan Islam. InsyaAllah dengan niat yang betul, moga dikurniakan hidayah daripada Allah.

“Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang Telah diusahakannya.” (An-Najm: 39)
read more...

Tuesday, May 19, 2009

Ana musytaqun fi ilmillah

Assalamualaikum,

ana masih di dalam mood peperiksaan. Sengaja berblog untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian tentang coretan pengalaman hidup yang tidak seberapa ini memandangkan mata masih belum mahu lelap walaupun jam sudah menunjukkan pukul 1.53 pagi.

"Ana musytaqun fi ilmillah" bermaksud "Saya perindu ilmu Allah". Ayat inilah yang sentiasa terpapar di status GTalk dan YM serta pesanan bersama alarm handphone untuk mengejutkan ana bangun solat subuh. Ayatnya simple tetapi memberikan inspirasi yang cukup mendalam. Kenapa ayat ini? Entah. Since I found it very inspirational that i put it anywhere so that i can read it oftenly.

Ya, sebagai Muslim, ana sangat mencintai ilmu! Segala ilmu terangkum di dalam Fardu 'Ain mahupun Fardu Kifayah. Andai diberi peluang, mahu saja belajar perubatan, falsafah, psikologi dan sebagainya. Mungkin sebab ini jugalah saya memilih Kejuruteraan Kimia sebagai jurusan utama di Universiti kerana bidang ini sendiri pun terbina daripada pelbagai disiplin ilmu seperti Fizik, Kimia, Matematik, Ekonomi dan sebagainya (multi-disciplines). Mungkin hal ini juga didorong oleh ibu bapa ana yang sejak dari kecil tidak pernah menyekat anak-anak mereka untuk mebeli sebarang buku bacaan menyebabkan ana cukup obses membaca.

Sejak berada di UTP ni, obses tu hampir kepada tahap melampau sehinggakan ana pernah menghabiskan duit scholar yang sepatutnya digunakan untuk membayar yuran asrama untuk membeli beberapa buah buku. Bila tengok buku je, mesti terfikir "Bila lagi nak jumpa buku ni, baik aku beli sekarang!" Akhirnya terpaksalah menebalkan muka untuk mintak duit RM 780 daripada umi untuk bayar yuran asrama... hahaha...

Terbaru, terjumpa Syaamil Al-Quran type hijaz yang sepatutnya di pasaran biasa berharga RM 160, tapi di UTP dijual dengan RM129. Itu pun dalam bilangan yang terhad. Mungkin disebabkan keazaman yang tinggi untuk mentadabbur Al-Quran dengan penghayatan yang lebih tinggi dan belajar bahasa Arab dengan lebih pantas, timbul lagi 'bisikan itu'.... hehe... melayang RM 129 tanpa berfikir panjang. Akibatnya, tak tahu macam mana nak beli tiket bas balik Kelantan... Adess... Tapi, yakinlah dengan rahmat Allah... Akhirnya masalah selesai! Alhamdulillah.

Syaamil Quran

Di zaman persekolahan, ana banyak menelaah buku-buku berkaitan sejarah dunia, psikologi, motivasi dan sebagainya. Sejak di UTP, ana mula berminat dengan karya Imam Al-Ghazali (Kimiya el-saadat, minhajul Abidin dan ihya ulumuddin) dan Ibnu Khaldun(Muqaddimah). Banyak juga buku-buku Islamik, sirah, fikrah perjuangan Islam dan ekonomi yang menjadi pilihan. Ana juga membaca karya-karya bersifat ringan seperti novel, buku-buku tulisan Ustaz Hasrizal dan Prof. Kamil serta banyak lagi. Tapi pilihan utama ana masih lagi tentang Sejarah, terutama sekali Sejarah yang berkaitan perkembangan tamadun Islam. Terlalu banyak aspek yang boleh dikaji berkaitan jatuh-bangun tamadun Islam, serangan pemikiran, budaya ilmu serta falsafah, Pembangunan material, ketenteraan, ekonomi, genealogy, antropologi dan pelbagai lagi. Sangat menarik untuk dikaji dan dibedah.

Unfortunately, lately I can't keep up the pace. I still can't finish a few books that I've bought last time due too a lot of tasks. I hope to finish them in this Semester break. InsyaAllah.

Here is the 'waiting list':

1. Fiqh Al-Harakah 3 (more than half already)
2. Risalah Taalim. (A few pages more)
3.Tariqul Da'wah (A few pages more)
4.Yakjuj dan Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung. (Hundreds of pages to go)
5. A Thousan Splendid Suns(Novel) (more than half)
6. Sun Tzu: War & Management (more than half)
7.Science and Islam
8. Kisah Doa & Taubat Para Nabi
9. Ethical Philosophy of Imam Al-Ghazali. (more than half)
10. Islam and Secularism

Here is my 'shooting list' ---> Waiting to be bought/borrowed... hehe

1. Manhaj Hidup Muslim
2. Islam at the Crossroads
3. A Young Muslim's Guide to The Modern World
4. The Alchemist (novel)
5.Avicenna: His Life and Works
6. Men are from Mars, Women are from Venus.
7. Ummuh Barahin
8. Pati Munyatul Musolli
9. Risalah At-tahridh alal Jihad fi islah bilad wal Ibad

Usuallly, to finish them faster, I put the books on my bed, study desk and bag. So, at least I will hold and read them three times a day... Before bedtime, during free time before lecture and after studying my engineering subjects. Huhu.... Hope you can share here on how you finish your favorite books... TQ

Book on my bed

read more...

Saturday, May 16, 2009

Guru Pelita Hidup


Assalamualaikum,

SELAMAT HARI GURU diucapkan kepada semua guru termasuk ibu bapaku sendiri. Sungguh tiada kerjaya yang lebih mulia melainkan mendidik orang lain sehingga berjaya. Sesungguhnya tangan yang memberi pastinya lebih mulia daripada tangan yang menerima (tiada kaitan dengan RASUAH).

Sebagai anak kepada dua orang guru, malah datuk dan nenek pun guru (guru sekolah dan guru mengaji Al-Quran), betapa kami adik-beradik mengerti kehidupan mereka. Sekurang-kurangnya kami berada di posisi untuk menilai keikhlasan seorang guru dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Bayangkan, seorang guru sanggup meninggalkan anak-anak mereka tak kira waktu semata-mata untuk menyampaikan ilmu kepada murid-murid mereka. Sanggup diganggu pada waktu yang sungguh berharga bersama keluarga semata-mata untuk melihat murid-murid mereka berjaya. Merotan, memarahi malah memukul hanya untuk satu tujuan! Untuk mengajar anak didik mereka menjadi ORANG bukan HAIWAN! Tetapi malangnya ramai anak-anak didik mereka pada zaman kini telah menjadi HAIWAN terlebih dahulu sebelum dididik. Salah siapa?

Ya, benar bukan semua guru yang ikhlas. Ada yang malah sanggup merosakkan anak-anak didik mereka kerana… macam-macam sebab. Mungkin dendam, dengki, politik dan sebagainya. Hal ini dialami oleh kami sekeluarga sendiri. Guru-guru pada masa kini ditekan dari segenap penjuru menyebabkan mereka tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. Salah siapa? Tanyalah Dato’ Seri Muhyidin awak tu…..

Banyak kenangan manis sepanjang zaman persekolahan dahulu. Rindu untuk kembali ke SK Tanah Merah 1, SK Dato’ Hashim 2, MRSM Kuala Lipis dan MRSM Pengkalan Chepa. Saya masih ingat cikgu pertama yang mengajar saya iaitu Cikgu Norizan. Dia cikgu pertama yang saya ketemu sewaktu menjejak langkah memasuki darjah 1 SK Tanah Merah 1. Dulu saya dicop antara murid yang nakal (tapi geliga ek.. hehe). Sayalah antara ‘target’ untuk didenda hampir setiap hari atas kesalahan tak siap kerja rumah, kacau orang dan macam-macam lagi. Tapi ironiknya, saya antara pelajar yang ‘top’ walaupun geng saya yang sama2 tak siap kerja rumah dan suka pukul orang biasanya berada di tempat tercorot. Cikgu Norizan la yang banyak mengambil tahu tentang saya tatkala tiada seorang pun yang bagi muka kat saya ni. Selepas dia berpindah, dia kerap hantar surat. Tapi tak lama kemudian hubungan kami terputus. Entah di mana dia sekarang ni.

Dan sejarah perubahan diri bermula ketika di SK Dato’ Hashim 2, Pengkalan Chepa. Di sekolah ini, saya mula bergaul dengan anak-anak penagih dadah, mat rempit dan anak-anak orang miskin yang terpaksa bekerja menjadi caddy di padang golf semata-mata ingin mencari duit makan dan biaya persekolahan. Saya juga dihantar oleh ibu bapa ke sebuah pusat pengajian Al-Quran terkenal di sana, tempat saya mengenali seorang ustaz yang cukup bijak mengendalikan pelajar ‘bermasalah’ seperti saya. Saya amat menghormatinya sehingga saya mampu berubah menjadi sedikit ‘thiqah’ di hadapannya dan perlahan-lahan berubah menjadi baik di belakangnya… hehe. Terus saya mampu mengimbangkan kehidupan saya di sana sehingga pencapaian akademik saya di sana meningkat dan terus kekal berada di top 3 sehingga mencapai 5A dalam UPSR 2001. Percayalah, di sekolah ini, saya pernah terjebak dalam situasi pergaduhan yang mana ada kawan yang membawa keris untuk mempertahankan diri. Alhamdulillah, saya berjaya memujuknya dan meleraikan pergaduhan. Begitulah kisah kehidupan di kawasan yang paling banyak jenayah di Kelantan selain Golok.

Kisah diteruskan di MRSM Kuala Lipis. Guru homeroom yang pertama ialah Cikgu Yusof. Saya sangat rapat dengan beliau. Beliau adalah orang yang pertama mengesan bakat berpidato dalam diri ini dan mengambil saya mewakili maktab untuk pertandingan Pidato Minggu Bahasa. Saya berjaya mendapat tempat ke3 untuk pertandingan pidato kali pertama saya… not bad.. hehe… beliau berpindah ke MRSM Pengkalan Chepa ketika saya di tingkatan 2 dan guru homeroom saya seterusnya ialah Puan Rahmatul Aida (kini ketua jabatan matematik MRSM Kuala Lipis)… sangat lembut dan bersifat keibuan orangnya. Dialah antara orang yang bertanggungjawab membantu saya mengekalkan prestasi akademik dalam keadaan sangat sibuk dengan aktiviti kokurikulum. Walaupun sangat sibuk dan tertekan ketika memegang jawatan selaku Timbalan Presiden BWP ketika hanya di tingkatan 2, saya masih konsisten berada di ranking top 3 dalam keadaan sentiasa terlelap dalam kelas, kerap ponteng kelas, prep dan sebagainya. Saya amat terhutang budi dengan beliau kerana memberikan saya semangat dan tips-tips berguna dalam mendepani situasi seperti ini. Sehinggakan ‘best student’ MRSM Kuala Lipis adalah daripada homeroom saya dan saya no 2.. hehe… Memang sudah diiktiraf Puan Rahmatul Aida sebagai Penasihat Homeroom TERBAEK!

Perjalanan diteruskan ke MRSM Pengkalan Chepa setelah berjaya menggondol 8A dalam PMR. Cikgu homeroom pertama saya ialah Ms. Marina (english teacher). Seorang yang sangat open walaupun seorang warden. Ketika saya dikritik hebat, beliau adalah antara yang tampil membantu. Beliau sanggup meluangkan waktu mendengar luahan hati saya yang tak seberapa ni dan memberi nasihat. Beliau antara yang amat memahami diri ini. Terus saya dilantik menjadi BWP, dan berada di bawah naungan Puan nur Ashikin(Mami), cikgu asrul dan cikgu saliza. Hubungan kami lebih dari sekadar pelajar dan guru. Kami adalah umpama sebuah keluarga. Selaku pemimpin pelajar, saya mengenali dan rapat dengan hampir semua guru walaupun tidak mengajar saya. Justeru, saya banyak memperoleh ruang untuk menadah ilmu secara tidak langsung dan mendengar rahsia-rahsia yang tak pernah terungkap. Di tingkatan 5, berlaku rombakan homeroom. Penasihat homeroom yang baru ialah Ustazah Zabedah. Ketika sebulan sebelum SPM, saya ditimpa musibah dan terpaksa berulang-alik ke hospital. Saya amat tertekan dalam keadaan SPM makin menghampiri. Betapa hubungan yang baik dengan guru membawa berkat. Dalam keadaan begitu, saya mampu menjawab soalan dengan baik dan yakin dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang.

Begitulah serba sedikit kisah zaman persekolahan dulu… moralnya disini, hormatilah guru anda… jangan derhaka takut disumpah menjadi haiwan… memang bukan haiwan secara fizikal, tapi akal tu akal haiwan. Memang keras sikit sebab saya cukup membenci mentaliti untuk menyalahkan guru melainkan memang dia tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik. Meskipun begitu, guru masih BELUM LAYAK DIMAKI… mungkin dia perlukan pandangan atau nasihat daripada kita… mudah-mudahan dikurniakan rahmat kepada semua guru yang telah berpenat lelah mendidikku. Moga mereka diteguhkan iman dan dilindungi daripada kezaliman anak-anak didik yang tak tahu malu dan UMNO/BN yang durjana…. Amin..

Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi Al Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (Al-A'raaf: 175)




read more...

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu!





Assalamualaikum,



Selamat hari ibu diucapkan sudah pasti yang terutama untuk ummiku yang sekian lama membesarkanku sehingga berjaya menjejak ke usia 20 tahun dalam keadaan sihat wal afiat. Tiadalah kurniaan terbaik daripada Allah S.W.T kepada kita melainkan seorang ibu yang penyayang. tanpa dia, tiadalah kita dimana kita sekarang. tanpa dia, tiadalah sanjungan setinggi langit yang kita rasai sekarang. tanpa dia, entah kita seorang Kristian atau Yahudi. Nauzubillah. Alhamdulillah, dilahirkan sebagai muslim dan InsyaAllah dikurniakan hidayah berterusan untuk terus kekal sebagai Muslim dan berjuang untuk Islam bagi mengejar mardhatillah. Puisi dibawah ditujukan buat ibu tercinta Faridah Binti Che Kub, ibu-ibu di seluruh dunia serta bakal-bakal ibu aka wanita... hehe... maaflah, ini sahaja yang terilham di minda... itupun selepas mambaca beberapa puisi lain.. especially from negeri seberang (Indonesia). terimalah...



IBU




Waktu berjalan menghempaskan masa lalu

Senja memudar laksana petang mengganti pagi

Kerinduan seorang ibu adalah kerinduan kepada kemanusiaan

Tangannya mengukir masa depan dengan penuh cinta

Tangisnya memberi kerelaan bagi segala pengorbanan

Membuat dunia berharap akan belas yang senantiasa mengalir







Bait-bait kenangan menjadi persembahan terindah

Tatkala mentari pagi membasuh sang buah hati bagai mempelai bagi dunia

Benarkah itu yang senantiasa dia inginkan?

Pergolakan hidup memasung setiap ibu

Untuk menghantar sang putera meniti pelangi kehidupan

Rindu, tangis, senyum dan kelemahannya

Hanya menceritakan cinta yang takkan pernah terucap



Akankah kehidupan bergulir seperti yang kau harapkan?

Sementara Sang Perawan Suci telah meneriakkan kepedihan

Ketika Sang Anak Manusia mati tiada berdaya

Darah tiada erti lagi, air mata, kerinduan…

Segalanya terserak oleh kebekuan kehidupan

Pengkhianatan kepada cinta,

pengkhianatan bagi penghembus kehidupan



Namun seperti sang Raja yang dijulang ke langit,

Demikian sang ibu semestinya menapak

Meraih nilai tertinggi, mengangkat setiap hati

Kerana “Ibu” adalah gelar yang menjadi simbol bagi kesetiaan

Manusia selalu dibuai dalam pangkuannya

Manusia selalu merindukan dekapannya

Hingga melibas segala kemunafikan,

dan meluruhkan segala racun kehidupan





Dia, sang ibu…

Adalah pencipta mata air ditengah padang pasir

Cintanya bertubi-tubi melewati tujuh samudera

Adalah hati bagi segala mahakarya disepanjang waktu dan sejarah

Lingkarannya takkan pernah habis.

Cinta, kerinduan, tangis, senyum, ketulusan tanpa perih…

Jika habis, dunia juga ikut habis.







"Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia Telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah Aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang Telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya Aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepada Engkau dan Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang berserah diri". (Al-Ahqaf: 15)















read more...