Saturday, December 13, 2008

Jejak-jejak Jahiliyyah



“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak mengingkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan” (At-Tahrim: 6)

Alhamdulillah, lega dan tenang rasanya dapat pulang ke kampong setelah lama berjuang menuntut ilmu di kampus tercinta, UTP. Cuti semester memanglah agak lama iaitu hampir 2 bulan. Namun, disebabkan beberapa tugas penting, cuti terpaksa dipendekkan selama 2 minggu sahaja. Aku tetap bersyukur kerana masih dikurniakan waktu untuk bersua dengan keluarga. Itu sudah cukup berharga bagiku kerana sememangnya semakin kita dewasa, semakin banyak tanggungjawab dan pastinya waktu makin menghimpit. Sifir alam memang begitu.

Kelantan sudah banyak berubah sejak aku mula-mula berpindah ke sini 13 tahun lalu. Perubahan yang paling ketara adalah dari segi fizikal. Dahulu, tidak pernah terlintas di benakku bahawa jalan-jalan di Kota Bharu mengalami kesesakan yang teruk sebagaimana KL. Jalan-jalan walaupun di pusat bandar agak lengang. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini ia ternyata berlaku. Kadang-kadang naik geram juga ketika memandu. Alhamdulillah tidak seteruk KL disebabkan kecekapan pihak kerajaan membina jalan-jalan baru dan melebarkan jalan di tempat-tempat yang strategik. Kini juga sudah terbina beberapa pusat membeli-belah yang besar di Kota Bharu seperti KB Mall(terbesar di pantai timur), Billion, Tesco, Giant(under construction) dan banyak lagi. Pertengahan 90an dahulu, The Store adalah pusat membeli-belah terbesar di Kelantan.

Pendek kata, macam-macam ada!

Malang sekali, aku lihat ada kelompongan melata. Kegersangan, kekeringan, kusam. Ya! Rumput masih hijau dan langit masih biru(tiada kena-mengena dengan politik). Tetapi entah kenapa warna-warna itu seolah-olah pudar. Pudar kerana jejak-jejak JAHILIYYAH kian menapak di jiwa warganya!

Sepatutnya aku gembira dengan kepulangan ke negeri tempat lahirku ini. Setelah bertahun-tahun menuntut ilmu dalam sistem yang mengetepikan akidah, aku seharusnya bahagia pulang ke negeri serambi mekah ini yang pemerintahnya ulama’ tersohor. Jangan marah. Baca dulu kisahku ini.

Kisah 1

Aku pergi ke KB Mall pada hari sabtu. Hari yang paling sesak di bandar Kota Bharu. Masuk sahaja ke dalam, aku lihat sekumpulan perempuan seramai 3 orang berpakaian ala-ala gothik dengan pakaian serba hitam dan rambut berwarna-warni serta mencancang. Adikku kata, mereka ni ‘budak Indie’. Oh, mungkin sedikit sahaja golongan ini. Menyusur ke dalam, terkejut aku melihat betapa ramai budak-budak Indie ini berkumpul di ruang tengah KB Mall. MasyaAllah!! Mereka menjerit-jerit, tergelak-gelak seperti syaitan. Orang ramai yang lalu-lalang menjeling kepada mereka. Di manakah hilang malu mereka ni? Daripada saiz badan dan gaya percakapan, mereka ni lebih kurang lepasan UPSR atau PMR. Muda daripadaku yang pastinya. Kemudian, setelah berjaya ‘menjelajah’ 80% pasaraya ini, lebih ramai golongan Indie yang aku temui. Paling mengecewakan, sukar untuk berjumpa lelaki apatah lagi perempuan yang memakai pakaian yang islamik! Astaghfirullah. Setiap kali bertemu wanita yang berpakaian menutup aurat dengan sempurna dan lelaki yang berpakaian kemas dan memakai kopiah, betapa bersyukurnya aku kerana rupa-rupanya masih ada lagi manusia yang patuh pada syariat Allah dan mengikut Sunnah Rasulullah. Pandangan sebegini sememangnya biasa di KL, Ipoh atau Penang. Namun, tidak pernah aku melihat pemandangan sebegini di Kelantan. Dahulu, Non-Muslim pun ‘tutup aurat’ kecuali rambut. Tapi sekarang, kalau Muslim pun dah berani buka situ buka sini, Non-Muslim macam mana? Bayangkan, di depan sebuah kedai yang menjual pakaian islamik, penjualnya memakai purdah, di pintu kedai terletak stiker ‘Kota Bharu Bandaraya Islam’, menjadi tempat berkumpulnya anak-anak yang berjiwa kosong ini. Malu! Inikah yang anda kata KEMAJUAN? BODOH!! Ini semua JAHILIYYAH!

“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya(auratnya) kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudungnya ke dadanya……” (An-Nur: 31)

Kisah 2

Aku pulang ke kampung nenekku di Tanah Merah. Aku tinggal di sini lebih kurang 4 tahun selepas berpindah dari Selangor. Dulu, desa ini amat permai. Udaranya bersih, orangnya pun baik-baik. Teringat zaman kecilku waktu aku selalu bermain di padang. Macam-macam aku main dengan geng-geng aku. Bola lisut, tengteng dan banyak lagi. Seronok! Kami memang nakal tetapi kami masih menghormati orang tua dan tahu adat. Sekarang desa ini pun sudah berubah wajah. Terkejut aku melihat budak semuda 5 tahun sudah pandai menghisap rokok. Mat rempit pun berlambak-lambak. Kanak-kanak sudah jadi semakin kurang ajar. ‘Couple’ yang hampir mustahil untuk dilihat di desa ini dulu, kini satu pemandangan biasa. Ini tak dicampur lagi dengan gaya pakaian yang ‘tak cukup kain’. Apa yang bagus sangat dengan pakaian begitu? Ikut trend? Nak maju? Nak moden? Cis! Itu bukan maju. Itu JAHILIYYAH! Tak mungkin ibu bapa mereka tidak tahu perangai anak-anak mereka ini.

“Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan zuriat yang lemah di belakang mereka yangmereka khuatir terhadap kesejahteraannya. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar.” (An-Nisa’: 9)

Maaf, sememangnya aku kecewa kemajuan material yang masuk telah memundurkan jiwa masyarakat. Aku malu. Malu dengan JAHILIYYAH yang semakin menjalar dalam jiwa masyarakat. Aku tahu ramai anak-anak Kelantan di dalam mahupun di luar negeri mengikuti perjuangan jemaah Islamiah. Tapi lihatlah dunia sahabat-sahabat. Renunglah realitinya. Sesungguhnya, Allah telah menurunkan ujian ini kepada kita. Tak jauh pun. Dekat sahaja. Mungkin di sekitar rumah kita, mungkin jiran-jiran kita atau mungkin adik-adik kita sendiri. Marilah sahabat-sahabat, kita berusaha mendekati jiwa-jiwa yang kosong dan gersang ini.

“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri” (H.R Bukhari dan Muslim)


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "Jejak-jejak Jahiliyyah"

khadijah rusli said...

salam alaik
so sebab tue la kite semua kena turun kelantan dan mula buat dakwah di kelantan..
best best best

Post a Comment