Saturday, July 18, 2009

Seminar Isu Semasa Tamadun Ummah

Pada 17 Julai 2009 iaitu semalam, Seminar Isu Semasa Tamadun Ummah sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan telah berjaya dianjurkan secara bersama oleh JAKIM, JAIP, UTP dan MUAFAKAT. Bertempat di MPH, UTP, 3 kertas kerja telah dibentangkan oleh penceramah-penceramah hebat seperti Dr. Jamnul Azhar Mulkan, penceramah bebas, Dato’ Dr. Uthman El-Muhammady, Fellow kanan ISTAC, UIA dan En. Ann Wan Seng, SUK PERKIM Pusat.

Kertas Kerja 1: Mukjizat Sains Al-Quran oleh Dr. Jamnul Azhar Mulkan


Pada sesi pertama ini, Dr. Jamnul telah mengaitkan Kisah Israk dan Mi’raj dengan bidang fizik dan astronomi. Antara kenyataan yang cukup menarik untuk dikaji ialah teori Relativiti Albert Einstein yang sebahagiannya menyatakan:

“When a human being can move in the speed of light, he is not bound by time and space.”

Di dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa Buraq, iaitu binatang yang ditunggangi nabi ketika israk dicipta daripada cahaya. Perbandingan dalil Al-Quran dan sains ini menjelaskan logik di sebalik peristiwa israk dan mi’raj tersebut.
Selain itu, antara yang dikongsi oleh beliau ialah perbahasan berkenaan anti-matter, big bang dan struktur alam semesta. Sangat mengujakan untuk diketahui ditambah pula dengan lawak beliau yang amat menggelikan hati.

Kertas Kerja 2: Pluralisme Agama Satu Penilaian oleh Dato’ Dr. Uthman El-Muhammady

Ulama’ yang begitu terkenal dengan gelaran ‘Ustaz Rambut Merah’ amat berpengaruh dalam bidangnya. Amat dikagumi kerana sifatnya yang tegas dan lantang bersuara. Antara perkara yang dibincangkan dalam sesi ini ialah ideologi Islam Liberal, Syiah, Wahhabi, Sekularisme, Orientalisme, Konsumerisme dan lain-lain. Perbincangan kali ini agak berat dan sensitif. Beberapa kali suasana ‘panas’ tercetus atas beberapa ulasan dan kenyataan beliau yang agak kontroversi. Antaranya apabila beliau membahaskan persoalan ulil amri pada kerajaan Malaysia dan isu Sekularisme. Berikut adalah kenyataan beliau yang membuatkan hadirin agak ‘panas punggung’.

“Malaysia bukanlah negara sekularis, Malaysia adalah negara Islam.”

Beliau mengecam mereka yang menuduh Malaysia negara sekularis dengan mengatakan bahawa mereka tidak memahami konotasi ‘Sekularisme’. Dalam kertas kerja yang dibentangkan, beliau mendefinisikan ‘Pemikiran Sekular’ sebagai:

“Cara berfikir memisahkan agama daripada ruang awam (bukan hanya politik).”

Anda faham kenyataan ini?

Seterusnya beliau menambah dalam ceramah beliau dengan konotasi ‘semua ruang awam’. Bagaimana anda mentafsirkannya? Walau bagaimanapun ada satu ayat Al-Quran daripada surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208)

Perbahasannya pasti lebih panjang. Tidak berani untuk saya huraikan isu ini lebih panjang atas kedudukan saya yang hanyalah seorang pelajar Kejuruteraan Kimia dibandingkan dengan beliau seorang Ulama’ yang berkredibiliti tinggi. Beliau juga menjelaskan titik-titik yang membezakan antara Islam dan Atheis terutama dari aspek Akidah. Ternyata titik-titik tersebut sangat ‘fragile’ dan mungkin ramai di antara kita sudah terbatal Syahadahnya tanpa disedari. Nauzubillah.

Di akhir sesi, beliau menegaskan betapa perlunya kita mengikuti mazhab Ahlissunnah wal jamaah yang sahih dan menjauhkan diri daripada unsur-unsur lain yang menyesatkan.

Kertas Kerja 3: Dakwah Efektif Pengalaman Aktivis oleh En. Ann Wan Seng

Satu perkongsian yang sangat menarik daripada En. Ann Wan Seng dengan stail penyampaian yang bersifat responsif dan penuh dengan humor. Pada awalnya, beliau menceritakan persepsi negatif orang Melayu terhadap kaum bukan Islam seperti Cina, India dan sebagainya. Beliau menegaskan bahawa orang Melayu Islam haruslah mengenepikan persepsi tersebut sebelum berfikir untuk merancang strategi dakwah terbaik. Antara kelemahan utama pendakwah Islam yang dinyatakan oleh beliau ialah dari segi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berbanding dengan pendakyah Kristian yang begitu komited mengkaji ‘target group’ mereka secara komprehensif sebelum menyampaikan dakyah mereka.

Seterusnya, beliau berkongsi pengalaman dakwah beliau bersama orang Asli, Cina, India, Eropah di samping isu murtad. Di sesi soal jawab, beliau mendedahkan satu fakta yang membuatkan semua peserta tergamam iaitu pembinaan kompleks gereja terbesar di Asia di Bukit Jalil. Kompleks yang dikenali sebagai Calvary Convention Center tersebut yang berada hanya di sebelah lebuhraya bakal menjadi Pusat Missionari Kristian tercanggih di dunia. Beliau hanya menyedari pembinaan tersebut setelah hampir 80% kompleks itu siap. Bentuknya mirip kapal. Justeru, marilah sama-sama berwaspada dengan dakyah Kristian yang kian bertapak kukuh di Malaysia kini.Buktinya di sini. Kisah lebih lanjut boleh diperolehi di sini dan sini

Model Cavalry Convention Center

Seminar ini telah dirasmikan oleh Y.B. Senator Dato’ Dr. Mashitah Binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ternyata ‘aura’ beliau masih belum hilang walaupun tudungnya sudah sedikit singkat. Namun itu serba sedikit menjejaskan kredibiliti beliau selaku seorang pendakwah yang begitu bersemangat memperjuangkan isu tudung/hijab suatu ketika dahulu.

Dalam ucapannya beliau menekankan unsur keseimbangan dalam pembangunan Tamadun Ummah iaitu merujuk kepada keseimbangan duniawi dan ukhrawi. Secara keseluruhan, seminar ini sangat membuka minda dan merangsang pemikiran.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

2 comments: on "Seminar Isu Semasa Tamadun Ummah"

nur akmal said...

masyaallah.... baru aku wujudnya gereja tue...cm mn kt tk blh sdar? sdngkn amatlh bsr kompleks itu....

Wan Pai said...

huish~~ bl lg wat tuh???x penah dgr pn..

Post a Comment