Artikel ini dipetik daripada Website Mufti Perlis: Dr. Mohd. Asri bin Zainal Abidin
Kita semua wajar bersikap adil. Pilihanraya telah pun berlalu. Kita mengundi untuk kebaikan negara. Kita inginkan perubahan ke arah yang lebih positif, adil dan telus. Mesej rakyat kepada parti-parti politik dalam perkara tersebut sudah pun difahami oleh mereka.
Hari ini usaha-usaha ke arah hasrat tersebut kelihatannya sedang giat dilaksanakan. Kerajaan pusat juga telah merangka berbagai cadangan dan gagasan agar ketelusan dan keadilan dapat dilaksanakan. Demikian juga sesetengah kerajaan negeri yang baru dan yang lama. Sokonglah usaha-usaha yang baik serta berikanlah kritikan yang membina.
Politik bukan untuk membalas dendam atau ruang mencurahkan emosi yang tidak sudah-sudah. Sebaliknya, berpolitiklah untuk keadilan dan kebahagiaan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Malanglah kita orang Islam apabila berbalah, melampaui batas. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dukacitalah kita ini, jika dalam percaturan politik kita umat Islam, ‘orang lain’ yang mendapat banyak manfaat dan berjaya memperolehi berbagai tuntutan, sedangkan kita hanya menang ‘tuduh menuduh, bertengkar, bermasam muka, gelar menggelar dan segala macam racun yang lain. Ketika orang lain yang semalamnya bagaikan musuh yang sengit, hari ini sedang berpelukan meraikan kejayaan memperolehi segala macam tuntutan, kita masih lagi bagaikan‘sedang mengasah parang’ untuk meneruskan kematian.
Tuhan sentiasa membuka pintu taubat untuk insan yang bersalah berubah kepada yang lebih baik. Bila-bila masa sahaja taubat itu terbuka apabila timbulnya keinsafan dan kesedaran. Mungkin kesedaran dan keinsafan itu timbul hasil dari nasihat, atau kejadian dan peristiwa tertentu. Kadang-kala insan yang begitu jahat, berubah menjadi insaf disebabkan ketakutan atau penderitaan tertentu, atau peristiwa trajis yang meleburkan keegoannya.
Tidaklah penting apa pun sebab keinsafan itu lahir. Apa yang penting bagaimanakah keinsafan itu dihayati. Maka insan yang insaf disuruh bertaubat dengan taubat yang sebenar atau disebut sebagai taubah nasuha. Allah menyebut dalam Surah al-Tahrim ayat 8 : (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” taubat nasuha”, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai..
Terlaksananya taubat yang sebenar itu dengan seseorang insan menyesali kesalahannya, memohon keampunan daripada Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Jika kesalahan itu membabitkan insan yang lain, maka dia hendaklah membetulkannya dengan mengembalikan hak yang diambil, atau menafikan tuduhan yang dilemparkan.
Jika itu berlaku, maka mereka akan insan tersebut janji Allah dalam firmanNya: (maksudnya) “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal soleh, maka mereka itu Allah akan gantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Furqan: 70).
Saya ingin katakan bahawa peristiwa pilihanraya yang lepas, perkara yang pertama yang mesti dilakukan oleh pihak pemerintah bagi mengeluarkan diri semua dari krisis dan kegawatan politik yang saban hari mengganggu kita semua adalah dengan cara bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Segala kesalahan, ketidakadilan, ketidaktelusan, kecuaian atas tanggunjawab yang Allah amanahkan selama ini hendaklah benar-benar insaf dan memohon ampun daripada Allah.
Kedua; hendaklah berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan.
Ketiga: jika ada hak rakyat yang dizalimi, kembalikan hak mereka. Jika ini dilakukan, percayalah kepada rahmat Allah yang akan melimpahi negara dan kepimpinan akan terus dapat keberkatan dalam pemerintahan yang akan diteruskan. Dengarlah kata-kata Nabi Hud a.s kepada kaumnya seperti dalam Surah Hud ayat 52: (maksudnya) “Dan wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa”.
Inilah penawar bala yang telah dibuka rahsianya oleh Nabi Hud a.s., dan inilah juga yang pernah disebut oleh Nabi Nuh a.s. sebelum itu kepada kaumnya. Kata Nabi Nuh seperti dalam Surah Nuh ayat 10-12: (maksudnya) “Sehingga Aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)”.
Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa memohon ampun daripada Allah membolehkan rahmat dan keberkatan diturunkan. Allah menambahkan dengan taubat rezeki yang mencurah-curah, kekuatan, harta dan anak-pinak. Maka bertaubatlah wahai para pemerintah, agar kedamaian, ketenteraman dan kemakmuran akan dikecapi di bawah pemerintahan anda.
Pasca politik kini adalah ujian untuk kepimpinan negara. Bukan masa untuk menunjukkan ego, atau mencari-cari di mana silap orang lain, tapi melupai dosa-dosa politik yang pernah dilakukan. Masa ini sepatutnya kepimpinan negara di setiap peringkat menunjukkan tadarru’ iatu benar-benar merendah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya.
Kita ingin mendengar kepimpinan memohon kemaafan kepada rakyat di atas segala kesilapan yang pernah berlaku sepanjang pentadbiran yang lalu. Inilah yang akan mendatangkan keberkatan dan menimbulkan rasa hormat rakyat. Ingatlah amaran Allah apabila sesuatu bala atau ujian ditimpakan kepada sesuatu kaum dalam firmanNya: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kesusahan dan penyakit, supaya mereka merendah diri (insaf dan bertaubat).
Maka Alangkah eloknya kalau mereka merendah diri (insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala perkara (kemewahan dan kesenangan), sehingga apabila mereka bergembira dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)”.
Ya Allah! Peliharalah kami dari balaMu! Lihatlah Keamanan kita juga dirasakan makin terhakis saban hari. Kejadian-kejadian yang meragut ketenteraman mula bertali arus. Setiap kita mula bimbang dan risau atas keselamatan diri dan keluarga sekalipun berada dalam rumah sendiri. Polis pun tidak dapat menyelesaikan ketakutan seperti itu. Wahai pemerintah! Hanya Allah yang dapat mengeluarkan kita dari semua itu. Kembalilah kepadaNya!
Perubahan yang berteraskan taubat kepada Allah perlu dilakukan. Kepimpinan utama mestilah tegas dan ikhlas. Insan-insan yang telah terlibat dengan penyelewengan harta rakyat hendaklah dipupuskan. Mereka perlu disiasat secara telus. Bagaimana mungkin kepentingan negara yang diamanahkan untuk dijalankan, lalu dijadikan sumber kekayaan diri yang luar biasa.
Janganlah dihitung sebesar mana pun kedudukannya, atau serapat manapun persahabatan dengannya. Hak rakyat mestilah dipelihara. Tergamakkah seorang insan yang mengaku beriman memenuhi diri dengan kemewahan harta rakyat, sedangkan berapa ramai rakyat yang masih miskin dan susah, hidup dibanjiri airmata.
Bertaubatlah, kembalikan hak-hak rakyat, belalah mereka yang teraniaya. Jika orang kaya yang dizalimi, ada peguam yang dapat membawa kesnya ke mahkamah. Si miskin yang susah apabila ditindas, tiada peguam yang mampu dibayar, maka tidak ada mahkamah yang sudi mendengar. Namun esakan dan tangisan itu tetap didengari oleh Allah Yang Maha Mendengar. Rintihan itu sampai ke langit tinggi dan Allah akan membalasnya.
Wahai pemimpin! Jika engkau tidak adil, engkau akan didakwa di mahkamah Allah di pandang mahsyar kelak. Juga, jika dosa orang kena zalim itu mustajab di dunia, engkau akan dibalas di dunia dan akhirat. Wahai pemimpin! Bertaubatlah.
Para pemimpin adalah contoh untuk sekelian rakyat di bawah mereka. Mereka diperhatikan. Kemewahan mereka –jika tidak betul cara- menjadi tanda tanya. Sikap dan perwatakan mereka dipersoalkan. Demikian jugalah anak isteri mereka. Gaya yang berlebih-lebihan membuat rakyat merasa jelak. Ada yang sehingga ketika artis hindustan datang ke Malaysia yang terlebih boollywood dari boollywood. Sedangkan dia isteri orang besar.
Sebabnya, ramai seketika dulu merasakan mereka manusia kebal yang tidak mungkin ditumbangkan. Mereka lupa bahawa rakyat sedang merasa mual. Jika pemimpin itu bercakap Islam, buktikanlah menerusi percakapan, pendekatan, sikap dan juga pakaian anak isteri. Jangan berlebih-lebihan, tetapi bersederhanalah dan ikut peraturan. Rakyat tidak bertanya, berapa harga ‘make-up’ datin? Tetapi rakyat akan selalu mengingati kehalusan akhlak dan budi.
Allah pula suka kepada yang merendah diri dan menyayangi sesama muslim. Manusia ini bagaimana pun wataknya, hati nuraninya akan terasa hormat kepada orang yang mengingati Allah dalam ertikata yang sebenar. Diterjemahkan ingatan itu dalam bentuk tawaduk dan ketertiban sikap. Wahai pemimpin! Lakukanlah perubahan kerana Allah dalam hal ini. Nanti rakyat akan menyayangi anda.
Hala tuju negara hendaklah digaris dengan jelas. Saya kadang-kala melihat seakan generasi muda melayu Islam di negara ini dicandukan agar tidak lagi mampu berfikir dengan seimbang. Hiburan-hiburan yang melebihi dari tahap keperluan dan tidak memiliki matlamat yang jelas seakan sengaja dilambakkan untuk hidangan mereka. Inilah yang kelihatan dalam media-media kita sedangkan ketika yang sama gendang ‘Islam Hadhari’ dipalukan. Sebagai tanda restu atau sebaliknya, saya tidak pasti. Lalu anak muda kita dalam khayal dan mabuk, dadah, keruntuhan akhlak dan berbagai.
Maka tidak hairanlah jika mereka tidak mempunyai pandangan yang jelas dan terurus tentang masa depan negara. Lalu kita bising hilangnya nilai-nilai patriotik dalam jiwa jenerasi baru, padahal kita sendiri yang seakan memandulkan minda dan fitrah mereka. Barangkali kita suka, kerana dengan demikian, mereka tidak banyak mempersoalkan kita. Mendidik rakyat adalah tanggungjawab pemimpin yang Allah amanahkan. Bertaubatlah kepada Allah, betulkan perjalanan masa depan negara ini.
Banyak perkara yang patut saya komen tentang Islam Hadhari. Sejak dahulu saya selalu mengelakkan dari menyebut jenama yang mengundang ‘seribu kekeliruan itu’. Saya akan menulis tajuk khas mengenainya, insya Allah. Apa yang penting banyak perkara perlu dibetulkan. Bertaubat!. Kembalilah kepada Islam yang murni lagi asal seperti zaman Nabi s.a.w. Islam yang terbukti membangunkan kehidupan masyarakat yang aman lagi harmoni dunia dan akhirat. Tokok tambah agama hanya menghilangkan keaslian dan keberkatan dari Allah.
Wahai pemimpin! Pena saya tidak menzalimi anda. Sudah setahun, saban minggu ayat-ayatnya berbaris di sini. Bukan untuk menjatuhkan, tetapi mengajak melihat bersama laluan di hadapan. Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mencabutnya dari sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya taubat adalah penghalang bala bencana. Firman Allah: “Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar (meminta ampun)”. (Surah al-Anfal: 33).
Maka, jadikanlah kerajaan yang sedang merubah dirinya itu sebagai kerajaan yang bertaubat dari segala bentuk ketidakadilan dan ketidaktelusan. Seperti mana insan yang bertaubat, kelihatan bersih bercahaya dan merendah diri kepada Allah, demikian hendaknya kerajaan yang bertaubat.
Terjemahkanlah taubat itu dalam kepimpinan, pengurusan, media dan hati budi pemimpin. Pohonlah kemaafan kepada rakyat, dan kembalikan hak mereka jika ada yang ‘tidak kena’. Demikianlah juga hendaknya sekelian rakyat memohon keampunan dan kembali kepada jalan yang lurus. Inilah jalan keluar yang hakiki dari kemelutkan yang ada.
Jika itu berlaku maka, Allah berfirman: (maksudnya) “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka segala keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah al-‘Araf: 96).
Source:
0 comments: on "Jika Pemerintah Bertaubat Dengan Taubat Nasuha.."
Post a Comment