"Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Ar-Rum 21)
Bersabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik perhiasan di dunia ini adalah wanita yang solehah."
Perempuan yang aku sayangi Adalah pencinta agama Tuhannya Yang mengalir rasa cinta.. takut dan harap Terus menguasai perjalanan kehidupannya Dari waktu ke waktu Sehingga perjanjian antara jasad dan nyawanya berakhir
Perempuan yang aku rindui Adalah yang di mata dan wajahnya Terpancar sinar nur Ilahi Lidahnya basah dengan zikrullah Sentiasa muraqabah Setiap waktu sibuk membaiki diri Di sudut hati kecilnya sentiasa membesarkan Allah
Perempuan yang aku cintai Yang menutup auratnya dari pandangan ajnabi Kehormatan dirinya menjadi mahal nilainya Mujahadatunnafsi adalah perjuangan yang mesti Muhasabatunnafsi dilakukan selalu Disanjung tinggi penduduk langit dan bumi
Perempuan yang aku dambai Yang mendekatkan hatiku yang jauh dari Allah Tika aku di sana dilamar duniawi Hadirnya memperkasa Akhiratku Sewaktu aku alpa dan leka Lembut manjanya mentazkirah diri Di kala aku disapa bahana Belai kasihnya menginsafkan naluri
Perempuan yang aku kasihi Yang bersyukur pada apa yang ada Yang bersabar pada apa yang tiada Cinta pada hidup yang sederhana Demi kebahagiaan abadi di sana
Perempuan yang aku sukai Menjadi dian pada dirinya sendiri Yang menjadi pelita untuk putera-puteriku Yang bakal dilahirkan Untuk menyambung perjuanganku Menegak kalimah Allah nan qudus Mendaulat perjuangan suci Junjungan Mulia
Perempuan yang aku impi Adalah wanita yang luhur haqiqi Muslimah yang setia sejati Mu'minah yang taat pada Ilahi
**Dipetik drp emel seorang ukhti. Amat menarik utk dikongsi. lagipun dah lama tiada artikel berkaitan wanita di blog ini.
“ Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu : Jika kamu sekalian menginginkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya ku berikan kepada mu saguhati dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki ( keredhaan ) ALLah dan RasulNya serta ( kesenangan ) di akhirat, maka sesungguhnya ALLah menyediakan bagi siapa sahaja yang berbuat baik di antara mu pahala yang besar.” ( Al Ahzab : 28 - 29 )
MUQADDIMAH
Penglibatan Muslimat di dalam perjuangan Islam bukanlah suatu perkara yang baru. Bahkan, kejayaan, kemenangan dan keunggulan kaum Muslimat, yang menjadi sayap kiri perjuangan Islam telah tercatat di dada Sejarah semenjak dari wujudnya ‘alam maya ini. Seterusnya, penyertaan Muslimat dalam gerakan Islam ; adalah suatu keperluan yang dimestikan memandangkan peranan Muslimat di kalangan kaum wanita adalah penting dalam usaha menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Muslimat yang juga merupakan Isteri bagi para suami dan ibu kepada anak-anak perlu memahami kewajipan, bijaksana dalam membuat pembahagian masa, memiliki kekuatan, kecekapan berfikir dan bertindak dalam melakukan tugas kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.
Kita kembali mengambil pengajaran daripada kehidupan Ummahatul Mukminin yang banyak menyokong dan membantu Nabi dengan kekuatan peribadi mereka, kebijaksanaan, kecerdasan, ketabahan, kesetiaan, harta, pengaruh dan pergaulan yang luas dalam memperluaskan syariat ALLah dan pengaruh Empayar Islam di muka bumi ini. Mereka ini adalah golongan yang dikatakan oleh ALLah melalui firmanNya….
“ Sesungguhnya ALLah akan memasukkan mereka ke dalam suatu tempat ( syurga ) yang mereka menyukainya. Dan sesungguhnya ALLah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun ” ( Al Hajj : 59 )
GEDUNG ‘ILMU
Ummahatul Mukminin yang terdiri daripada 13 orang tersebut selain daripada menjadi Isteri kepada baginda Rasul SAW juga menjadi tempat rujukan ilmu para Muslimat zaman tersebut . Bahkan, selepas RasuluLLah SAW wafat maka beberapa di antara mereka terus menjadi sumber rujukan utama kaum Muslimin. Ini dapat kita lihat melalui peranan Saidatina Saudah r.a , Saidatina Aisyah r.a , Saidatina Hafsah r.a , Saidatina Raihanah r.a, Saidatina Syafiyah r.a, Ummu Habibah r.a dan Ummu Salamah r.a . Saidatina Aisyah r.a pula memang termasuk sebagai ahli Ilmuan dalam Al Qur’an, hadith, fiqh, sejarah dan bahasa Arab. Sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Burdah bin Musa dari ayahnya .…
“…setiap sahabat yang menemukan kesulitan dan bertanya kepada Aisyah r. a pastilah mereka mendapat jawapan yang mantap dan ilmiah…”
Selain daripada itu, tercatat dalam tinta sejarah bahawa Saidatina Aisyah r.a termasuk salah seorang daripada 7 orang ahli Majlis Syura selain Umar Ibn Khattab r.a, Ali bin Abi Talib r.a , Abdullah Ibn Mas’ud, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar. Saidatina Aisyah r.a, Hafsah r.a dan Ummu Salamah juga banyak meriwayatkan hadith daripada baginda RasuluLLah SAW yang menjadi mereka sebagai golongan Muhaddisah . Kehadiran mereka ini sesungguhnya telah dapat membantu baginda Rasul SAW dalam menyampaikan mesej Islam sehingga ke semua peringkat termasuklah kaum wanita hari ini . Seterusnya menaikkan martabat wanita yang pada awalnya dinilai sebagai golongan yang sial dan berada pada tahap yang sebegitu rendah dari sudut kaca mata masyarakat Arab Jahiliah ketika itu.Ini seterusnya membuktikan kepada kita pada hari ini bahawa wanita yang berilmu juga harus diberikan penghormatan yang tinggi dalam Islam dan memberikan satu input yang cukup berguna dalam meneruskan kesinambungan perjuangan.
Firman ALLah SWT yang mafhumnya…… “ ALLah meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ‘ilmu pengetahuan beberapa darjat…” ( Al Mujaadalah : 11 )
KEKUATAN EKONOMI & SIKAP PEMURAH – DANA PERJUANGAN
Perjuangan Islam sejak daripada awal perjuangan baginda Rasul SAW lagi menunjukkan kepada kita akan peri pentingnya kemantapan ekonomi untuk menjana dan meneruskan kelangsungan perjuangan. Baginda SAW banyak dibantu oleh kemantapan dan keutuhan ekonomi yang dimiliki oleh Isteri baginda yang tercinta iaitulah Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Sayyidah Khadijah, Ummul Mukminin pertama dalam sejarah Islam adalah seorang wanita bangsawan dan hartawan yang gigih. Beliau senantiasa memberikan dorongan besar terhadap perjuangan RasuluLLah SAW di samping memainkan peranan sebagai penolong, pembela, pelindung RasuluLLah SAW daripada ancaman orang-orang Musyrikin Quraisy. selepas kewafatan Sayyidah Khadijah ketika berusia 65 tahun, Rasul SAW begitu bungkam sekali. Sehinggakan tahun tersebut dicatatkan dalam Sejarah Islam sebagai Tahun Duka Cita ( bukan setakat terhadap baginda SAW tetapi juga kepada semua makhluk yang beriman kepada ALLah ). RasuluLlah juga beranggapan bahawa baginda bukan setakat kehilangan Isteri yang setia tetapi kehilangan seorang pembantu dan pembela baginda dalam melanjutkan tugas suci iaitu menyeru manusia kepada ALlah SWT. Di samping itu, sejarah telah menukilkan betapa Ummahatul Mukminin semuanya adalah insan-insan beriman yang bersikap pemurah dan dermawan. Contohnya, Sayyidah Sauda r.a mengikut catatan sejarah pada tarikh kewafatannya, tidak langsung meninggalkan harta yang masih menjadi miliknya walau sedikit. Kesemua hartanya telah dibahagi-bahagi kepada sesiapa yang memerlukan ketika hayatnya. Demikian jugalah halnya beberapa Ummahatul Mukminin yang lain. Sayyidah Zainab r.a misalnya terkenal dengan gelaran Ibu Orang-orang Miskin ( Ummul Masakin ) lantaran sifatnya yang cukup mengambil berat kebajikan dan nasib kaum dhu’afa’ serta memberikan bantuan kepada mereka.
KEMAHIRAN PSIKOLOGI YANG TINGGI
Psikologi atau juga yang dikenali sebagai Ilmu Kejiwaan amat memainkan peranan penting dalam bidang kehidupan seseorang khususnya para pemimpin/ pejuang dan juga gerakan yang dibawanya. Mengimbau ketinggian Ilmu Psikologi yang ada pada Ummahatul Mukminin, dapat kita simpulkan bahawa mereka berjaya menguasainya sehingga dapat membantu perjuangan baginda SAW dalam perjalanan yang terarah, tenang di samping ketetapan bantuan ALLah SWT.
Pernah berlaku satu peristiwa di mana RasuluLLah SAW amat sedih lantaran arahan baginda ( selepas perjanjian Hudaibiyah ditandatangani dengan pihak Quraisy ) kepada para Muslimin agar menyembelih haiwan sebagai dam ( denda ) kerana mereka tidak menunaikan haji pada tahun tersebut dan kemudian menyuruh mereka mencukur rambut sebagai tanda tahallul tidak diikuti oleh seorang pun. Maka baginda kembali ke rumah Ummu Salamah dan menceritakan hal tersebut dengan nada bersedih. Lantas, dengan ketinggian ilmu Psikologi yang ada pada Ummu Salamah yang memahami keadaan suaminya yang tercinta maka beliau berkata :
“Ya RasuluLlah…! Sukakah engkau mengerjakan itu..? Kalau engkau suka hendaklah engkau keluar dan jangan berkata-kata walau sepatahpun dengan mereka, sehingga engkau menyembelih untamu kemudian engkau panggil tukang cukur untuk mencukur rambutmu….!”
Nasihat isteri tercinta dituruti oleh baginda kerana pada pandangan baginda ia suatu saranan yang bagus. Ternyata keberkesanannya kerana apabila melihat tindakan Rasul SAW itu, semua kaum Muslimin mengikuti perbuatan baginda. Baginda berasa amat gembira dan memahami bahawa hanya dengan kata-kata sahaja kurang berkesan dalam mengajak manusia. Di sini juga dapat kita rumuskan betapa psikologi terhadap anak-anak buah/ orang-orang bawahan amat perlu dipertingkatkan dalam usaha kita mengarah mereka ke jalan ALLah SWT.
Ummu Salamah merupakan antara salah seorang Ummahatul Mukminin yang bijak dan berwibawa. Ini termasuklah dalam peranannya menasihati Siti Aisyah yang melibatkan diri dalam pertelingkahan antara Muslim selepas kewafatan RasuluLLah SAW dan juga nasihatnya kepada Sayidina Usman Affan agar mendekati dan memahami rakyat di bawah pemerintahannya. Sesungguhnya, Ummul Mukminin ini telah berjaya memainkan peranannya dalam 3 zaman iaitu zaman Rasul SAW, Zaman Khulafa Ar Rasyidin dan pemerintahan Muawiyah, pemula kepada pemerintahan Bani Umaiyyah. Sikap, ketegasan dan pengorbanan Ummu Salamah dalam melayani karenah-karenah kaum Muslimin khususnya selepas kewafatan Rasul SAW juga harus dijadikan contoh. Ketika Muawiyah berkempen mengajak ummat Islam untuk mengutuk Ali bin Abi Talib dalam suatu tabligh akhbar, Ummu Salamah segera mencabar dan memberikan nasihat kepada Muawiyah dan kaum Muslimin. Beliau berkata dengan penuh semangat lagi pantas….
“Sesungguhnya kamu sekalian telah melaknati ALLah dan RasulNya di atas mimbarmu. Kerana kamu telahpun melaknati dan mengutuk Ali bin Abi Talib serta orang-orang yang mengikutinya. Dan saya bersaksi bahawa ALLah dan RasulNya amat mencintai Ali bin Abi Talib.”
HUBUNGAN DIPLOMATIK & ANTARA KAUM
Seerah perkahwinan Rasul SAW dengan para isteri baginda SAW amat jelas bukanlah didasari atas kehendak dan kepentingan nafsu. Bahkan, sejarah telah membuktikan betapa di antara kalangan 13 orang wanita yang dinikahi baginda, hanya seorang sahaja yang bertaraf gadis iaitu Sayyidatina Aisyah r.a . Manakala selebihnya telah pernah berkahwin . Ada yang merupakan janda daripada para sahabat yang telah gugur syahid di medan jihad mempertahankan Islam . Ada pula yang merupakan abdi/ tahanan perang dan ada juga yang telah diceraikan oleh para suami terdahulu. Rasul SAW menikahi mereka sebagai langkah untuk menjaga kebajikan mereka dan tidak kurang juga hasil daripada arahan wahyu ALLah, contohnya pernikahan baginda dengan Siti Aisyah r.a dan Zainab binti Jahsyi r.a .
Apa yang ingin diketengahkan di sini ialah peranan perkahwinan tersebut dalam perspektif hubungan diplomatik dan antara kaum . Ummahatul Mukminin , Mariyah Al Qibtiyah r.a contohnya ialah Puteri Syam’un dari kalangan penganut agama Nasrani ( Kristian ) Mesir, manakala ibunya berasal dari Rom , Itali. Beliau menjadi salah seorang penghuni Istana Muqauqis. Raja Muqauqis pula amat sayangkan dan menghormati beliau. Walau bagaimanapun, sebagai menghormati Nabi Muhammad SAW yang telah mengutuskan warkah kepada Raja Muqauqis, maka Mariyah telah dihadiahkan untuk Nabi Muhammad SAW. Dalam perjalanan menuju ke Madinah, Mariyah telah tertarik dengan kecantikan akhlaq Islam yang ditunjukkan oleh Hatib bin Balta’ah, orang kepercayaan RasuluLLah SAW, lantas beliau memeluk Islam . Rasul SAW pula telah mengangkat martabatnya menjadi salah seorang daripada Ummahatul Mukminin. Hasil daripada hubungan ini, maka ahli keluarga Mariyah Al Qibtiyah juga kagum dengan akhlaq yang ditunjukkan dalam Islam . Hubungan antara ketiga-tiga buah negara semakin baik dan Islam selanjutnya dapat dikembangkan di Mesir dan Romawi, melalui hubungan perkahwinan tersebut.
Selain daripada itu, perkahwinan baginda SAW dengan Barrah bin Al Harris atau kemudiannya ditukarkan nama oleh baginda kepada Juwairiyah r.a juga telah merapatkan hubungan antara kaum iaitu antara Kaum Quraisy - Islam dengan Kabilah Bani Al Mustaliq, satu kelompok yang begitu memusuhi Islam di Madinah . Ini dapat kita lihat melalui kata-kata Ummahatul Mukminin Sayyidatina Aisyah r.a ……….
“ Sungguh, telah dimerdekakan dengan sebab perkahwinannya itu, serratus keluarga kaum Bani Mustaliq. Maka tidak pernah ku ketahui seorang wanita yang banyak berkatnya atas kaumnya, lebih daripada Juwairiyah…….”
Ayahanda Juwairiyah r.a iaitu Al Harrsi Abi Dhirar juga telah memeluk Islam di hadapan menantunya, Muhammad SAW. Ummahatul Mukmini ini juga telah menjadi tempat rujuk berkenaan hukum selepas kewafatan baginda SAW . KHIDMAT MASYARAKAT Kalangan Ummahatul Mukminin juga telah meninggalkan contoh kepada perjuangan masakini khususnya di kalangan Muslimat berkenaan persoalan khidmat masyarakat. Ini dapat kita perhatikan melalui peranan yang telah dimainkan oleh Ummahatul Mukminin, Maimunah r.a. Walaupun baginda SAW telah tiada, namun Maimunah r.a tetap menunjukkan kesetiaan yang penuh kepada Nabi SAW. Beliau tetap menjaga silaturrahim antara beliau dan madunya .
Terdapat dalam catatan sejarah bahawa Maimunah r.a banyak mengarahkan perhatiannya kepada masalah kaum wanita, terutama remaja Islam. Beliau membentuk satu pertubuhan wanita bagi memberi bantuan pertolongan cemas terhadap para pejuang yang tercedera dalam peperangan. Oleh itu, beliau sangat menonjol dalam Perang Tabuk yang terjadi dalam Bulan Rejab tahun ke 9 Hijrah, ketika itu RasuluLLah SAW masih hidup. Saat itu, Maimunah r.a berada di antara kaum Muslimin pada barisan terdepan sekali . Ketika itu, beliau menyantuni para pejuang Islam yang tercedera dan merawat mereka dengan penuh kasih sayang dan ikhlas, bahkan beliau sendiri pernah hampir disambar anak panah musuh. Sikap dan kemahiran ini terus beliau kembangkan setelah RasuluLLah SAW wafat, bahkan para sejarahwan mengatakan bahawa beliaulah orang yang pertama sekali menubuhkan Persatuan Wanita. Kelebihan beliau ini juga mendapat pujian daripada Sayyidatina Aisyah r.a melalui kata-katanya……..
“ Beliaulah ( Maimunah ) orang yang paling taqwa di antara kami ( para isteri RasuluLLah SAW ) dan yang paling banyak melakukan silaturrahim !”
RUMUSAN
Ummahatul Mukminin begitu banyak meninggalkan suri tauladan kepada pejuang-pejuang Muslimat masakini. Dalam soal keilmuan, komunikasi, diplomasi, perdamaian, atursiasah dan langkah-langkah strategi serta termasuklah apa jua aspek sekalipun . Pengorbanan yang ditumpahkan ikhlas oleh mereka bukan setakat membantu kaum Muslimat bahkan juga kaum Muslimin dan yang lebih penting ialah khususnya perjuangan baginda RauluLLah SAW itu sendiri. Tetapi malangnya, dewasa ini ramai ummat Islam yang terpengaruh oleh kenyataan kaum intelektual sekular yang menyatakan bahawa peranan Ummahatul Mukminin ini hanya terbatas dalam soal melayani kehendak individu Rasul SAW .
Semoga apa yang dibentangkan ini akan menjadi input yang berguna dalam menjana sokongan dan kerjasama seluruh pejuang Islam, tidak kira Muslimin atau Muslimat.
"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara " (Al-Hujurat 10)
PUMPP selar penganjuran MUSAWAH membawa agenda Islam Liberal ke Malaysia dan mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam
Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dengan ini menyelar sekeras-kerasnya program ‘Musawah’ iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS). Pertemuan Musawah dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulama’ muktabar.
Perjumpaan ini bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulama’ Islam muktabar. Mereka yang hadir termasuklah Muhammad Khalid Masud iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.
200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 40 buah negara dan berkumpul di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The Prince Hotel, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2009 bagi menghadiri mesyuarat 5 hari tersebut. Perjumpaan tertutup ini juga tidak membenarkan penyertaan dari pihak luar selain dari jemputan tertutup mereka. PUMPP melihat perjumpaan dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh kepentingan barat dengan tujuan meliberalkan Islam dan mengharapkan pihak penguatkuasa dapat menyiasat punca sumber-sumber dana membiayai program terbabit.
Perjumpaan ini juga akan akan memberi persepsi dan negatif kepada Malaysia yang bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita terutama apabila perjumpaan ini bakal dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang akan merasmikan perjumpaan tersebut.
PUMPP juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi merasmikan program tersebut seolah-oleh tidak merujuk terlebih dahulu kepada pihak autoriti agama dalam negara seperti JAKIM dan Majlis Mufti.
Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang bakal dibentangkan semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al-Qur’ān dan al-Hadīth dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala syari‘at yang dibawa oleh al-Qur’ān dan al-Sunnah.
PUMPP juga mengharapkan kumpulan-kumpulan dan masyarakat bukan Islam tidak terpengaruh dengan propaganda kumpulan Liberal Islam ini dan tidak campurtangan dalam urusan aqidah dan prinsip-prinsip ajaran Islam sepertimana Islam mengajar penganutnya untuk tidak campurtangan dan menghormati dalam ajaran agama-agama lain sepertimana penegasan al-Qur’ān:
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (109:6)
109:6 Unto you, your religious law, and unto me, mine!
Sehubungan dengan itu, PUMPP menyelar pelaksanaan program ini dan dilihat bakal merosakkan lagi aqidah umat Islam di Malaysia seterusnya membawa perpecahan kepada umat Islam dan member persepsi yang salah kepada Islam kepada semua pihak termasuk masyarakat dunia yang hadir dan melihat perkembangan di Malaysia.
Entah apa lagi perancangan gerakan ajaran sesat paling popular di Malaysia ini, SIS. Entah ulama’ mana yang dirujuk. Entah ulama’ tu reti ke tidak Bahasa Arab. Entah macam mana mereka tafsir quran. Entah apa status Aqidah mereka. Entah pape la diorg ni. Hish! Astaghfirullahalazim… Masih ada muslim sendiri yang begitu biadap terhadap Allah!
Setitik ilmu yang diperolehi dari universiti dan pembacaan, beberapa kejayaan duniawi di medan kerjaya dan universiti menjadikan terdapat para wanita yang tertipu dengan kebijaksanaan aqal mereka. Tanpa sedar, ada yang menyangka akalnya lebih bijak dari hukum yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Dijadikan hujah-hujah aqal dan hak asasi sebagai hujah meraih simpati dan sokongan masyarakat.
mereka menafikan menolak hukum quran dan hadith, tapi yang mereka cabar dan tolak adalah pentafsiran para ulama dari kalangan lelaki yang 'berat sebelah'.
Sebahagian hujah akal yang disertakan pula amat biadap terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW. Seperti mengatakan hukum Islam berat sebelah kerana di fahami dari akal seorang lelaki iaitu Muhammad dan diteruskan oleh para sahabat baginda dan seterusnya para ulama Islam yang majoritinya dari kalangan lelaki.
Sebelum itu, ketahuilah Islam telah menaikkan taraf wanita dengan begitu tinggi terutamanya jika dibandingkan dari apa yang berlaku sebelum Islam dan juga apa yang ada di barat hari ini. Tiada perbezaan untuk meraih syurga Allah dalam banyak perkara, Cuma ada beberapa amalan yang dilaksanakan dalam bentuk berlainan, tetapi hasilnya dan penerimaan Allah SWT tetap sama iaitu berdasarkan kualitinya.
Kedua-dua lelaki dan wanita diperintah untuk menuntut ilmu. Kedua-duanya equal dalam hal ini. Kedua-duanya diperintah solat dan puasa, cuma sedikit keringanan diberi kepada wanita dan beberapa perbezaan semasa pelaksanaannya. Walaubagaimanapun, ia langsung tidak mengurangkan peluang wanita untuk meraih syurga Allah dan seluruh nikmatNya.
“Dan barangsiapa yang melakukan amal soleh dari kalangan lelaki dan wanita dalam keadaan mereka beriman, mereka itulah yang akan memasuki syurga.." ( An-Nisa : 124 )
Jelas di sini tiada diskriminasi gender dalam Islam. Yang ada hanyalah peraturan tertentu sesuai dengan perbezaan kejadian lelaki dan wanita. dasar kesamarataan antara insan lelaki dan wanita dalam Islam termaktub jelas dalam Al Quran, antaranya dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai Manusia! Sungguh Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa.”
Sementara hakikat perbezaan kejadian dan tindakan lelaki dan wanita dinyatakan Allah di dalam Al Quran dalam surah Al Lail ayat 3 dan 4 yang bermaksud:
“Dan demi makhluk ciptaanNya lelaki dan perempuan. Sesungguhnya amal usaha kamu itu berbeza-beza.”
Justeru, saya seru sahabat/sahabiah sekalian menyokong pekeliling di atas dan menentang sekeras-kerasnya usaha yang untuk menyesatkan minda umat Islam dengan yang amat kotor iaitu menginterpretasikan Al-Quran dan As-Sunnah dalam keadaan JAHIL. Sungguh ini merupakan perlakuan yang TERKUTUK dan dipandu oleh nafsu dan syaitan LAKNATULLAH. BAN SISTERS IN ISLAM!!!
“Faris, macam mana ciri-ciri isteri idaman enta ya?”
Sedikit terkejut ana diutarakan soalan begitu oleh seorang sahabat sebelum masuk ke dewan kuliah dua hari lepas. Sejujurnya, ana jawab
“Maaf, ana tak fikir pun lagi. Ana tak sempat. Ada banyak lagi perkara yang lebih aula’ untuk ana fikirkan.”
Malam tersebut sebelum tidur, ana merenung sejenak kehidupan ana. Didorong pula dengan peristiwa ana terpaksa menghantar seluar yang koyak ke kedai kerana tiada masa untuk menjahit sedang seluar itu ana nak guna keesokan harinya. Padahal seluar tu koyak sikit je. Kebetulan, hari tersebut terlalu padat. Hehe, kelakar betul.
Kehidupan ana sejak zaman sekolah sehingga sekarang tidak pernah sunyi daripada aktiviti-aktiviti dakwah, persatuan dan kepimpinan. Ini semua dilakukan hanya semata-mata untuk mendapat mardhatillah. Justeru, ana berdoa agar tidak akan pernah futur daripada perjuangan ini. Walaupun ia bukanlah jalan yang dihampar dengan karpet merah, namun inilah nikmat sebenar menjadi seorang Islam sekiranya kita yakin dengan janji Allah dalam surah Muhammad, ayat ke-7:
“Jika kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantumu dan meneguhkan kedudukanmu.”
Jadi, pada pandangan ana, nikah adalah salah satu wasilah bagi kita umat Islam menjaga kemaslahatan dakwah dan terus maju di masa hadapan. Bukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsu syahwat mahupun mancari harta kekayaan. Hal ini memerlukan si isteri (lebih-lebih lagi si suami) mempunyai fikrah perjuangan Islam yang jelas. Bijak mengendalikan urusan rumah tangga serta mendidik anak-anak sehingga melahirkan kader-kader perjuangan Islam yang terus-menerus memastikan Islam terus ditegakkan di bumi Allah ini. Sentiasa memberi sokongan dan menggalakkan suaminya keluar berjuang. Begitulah secara umumnya ciri-ciri isteri idaman ana dan ramai lagi muslimin di luar sana.
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (An-Nisa’: 9)
"Empat jenis, siapa yang diberi akan keempat - empat jenis ini beerti dia telah memperolehi sebaik - baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa yang selalu sabar dengan cubaan dan isteri yang tidak melakukan dosa dan menzalimi suaminya." (Hadis Riwayat At-Tabrani)
Hijab
Mungkin satu kata kunci yang ana mahu tekankan dalam memilih isteri yang baik iaitu HIJAB.
‘Hijab’ berasal daripada perkataan ‘Hajaba’ yang bermaksud ‘dinding’. Dalam erti kata lain, perselindungan wanita Islam daripada lelaki ajnabi. Hijab mempunyai makna yang luas dan tidak terhad hanya kepada pemakaian tudung semata-mata.
Menutup Aurat
Bagi Muslim, menutup aurat adalah perintah agama yang wajib dilaksanakan. Orang yang menggunakan ayat Allah dalam permulaan ayat 256 Surah Al Baqarah yang bermaksud “Tiada paksaan dalam agama…” sebagai sandaran tidak boleh menguatkuasakan perintah bertudung telah melakukan kebatilan dalam agama. Memang benar tiada paksaan dalam menganut agama Islam. Namun, setelah yakin Islam adalah ajaran hidup yang benar, semua umat Islam tidak terkecuali daripada menjalankan peritah Allah secara keseluruhannya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah: 208)
Peri hal kewajiban menutup aurat telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah dalam surah An Nur ayat 31 bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka; …”
Golongan Islam Liberal menghujah bahawa kalimat khumur sebagai sekeping kain untuk menutup dada (maka cukup dengan memakai selendang di dada tanpa perlu menutup rambut) sedangkan tafsiran jumhur ulama adalah melabuhkan tudung yang sedia dipakai itu menutup rambut dan menutup belahan dada.
Gaya Suara dan Pertuturan
Ia hendaklah tidak dalam gaya atau mempunyai unsur yang boleh menarik perhatian lelaki secara sengaja atau tidak sengaja, seperti gaya pertuturan yang dimanja-manja atau penggunaan perkataan yang memberahikan. Firman Allah taala yang bermaksud:
"Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk terhadap kamu) dan berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). " (Al-Ahzab: 32)
Gaya Berjalan
“... dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.” (An-Nur: 31)
Ayat ini mengharamkan wanita memakai pergelangan kaki yang berloceng sehingga apabila ia berjalan loceng itu berbunyi dan menarik perhatian seorang lelaki kerana ayat ini diturunkan merujuk kepada perbuatan wanita jahiliah yang sedemikian. Berdasarkan ayat ini juga, wanita dilarang memakai pergelangan tangan yang mengeluarkan bunyi loceng yang menarik perhatian dan larangan wanita dari melenggok-lenggokkan tubuh badannya sehingga menarik perhatian lelaki. Lantaran kurang kefahaman, amalan memakai alat perhiasan berloceng ini didapati juga di kalangan wanita yang memakai hijab pakaian.
Berkhalwat
Berkhalwat bermaksud berdua-duaan di tempat yang terasing dengan lelaki yang bukan mahram. Larangan ini wujud dalam hadis Rasulullah saw yang bermaksud:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka janganlah berkhalwat dengan seorang wanita tanpa bersamanya mahram kerana yang ketiga dari mereka adalah syaitan." (Riwayat Ahmad)
Bersentuh kulit
Termasuk dalam hijab wanita ialah menjaga aspek ini kerana hadis berikut yang bermaksud:
"Andaikata kepala salah seorang dari kamu dicucuk dengan jarum besi, maka itu lebih baik baginya dari menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (Riwayat At-Tabrani & Al-Baihaqi)
Ini adalah pandangan yang lebih kuat yang menjadi pegangan majoriti ulama kecuali mazhab Maliki. Ini juga aspek hijab yang masih diabaikan oleh kebanyakan wanita.
Tunduk pandangan
Bagi memenuhi tuntutan hijab, Islam juga memerintahkan wanita menundukkan pandangannya dari melihat lelaki. Ini berdasarkan firman Allah taala yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada wanita-wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan mereka.” (Surah An-Nur: 31)
Menunduk pandangan bukan hanya perintah ke atas orang lelaki dari melihat wanita. Walaupun seorang lelaki berpakaian menutup aurat, namun ia tidak bermakna boleh seorang wanita melihatnya tanpa tujuan yang dibenarkan begitu juga lelaki.
Bersolek dan menghias diri
Hijab juga meliputi aspek bersolek dan menghias diri. Ini berdasarkan firman Allah taala yang bermaksud:
“... dan janganlah kamu mendedahkan diri (bersolek) seperti cara orang Jahiliah zaman dahulu ...” (Surah Al-Ahzab: 33)
Bersolek ini meliputi solekan pada pakaian dan tubuh. Islam membenarkan solekan dan hiasan bagi wanita di hadapan mahram atau untuk melayan suami.
Di sini juga kita dapati sesetengah wanita yang berhijab pakaian tetapi tubuhnya, terutama wajah, dihiasi dengan pelbagai solekan yang menarik perhatian lelaki.
Kita sedar bahawa aurat wanita itu begitu mahal, maka para wanita pun harus sedar dan lebih menjaga kesucian auratnya. Sebab, lelaki mana pun pasti menginginkan pendamping hidup yang suci lahir dan batinnya. Suci ertinya adalah wanita itu tidak pernah membuka hijabnya pada siapapun apalagi sampai bersentuhan dengan orang yang bukan mahramnya. Sungguh wanita-wanita sebegini yang berlindung di bawah tarbiyah Allah pasti memberi ketenangan kepada bakal zaujnya. Maka berdoalah wahai kaum Adam.
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa” (Al-Furqan: 74)
Dari Abu Umamah, dari Rasulullah S.A.W, beliau bersabda, “Tidak ada yang bisa diambil manfaatnya oleh seorang mukmin yang lebih baik baginya sesudah takwa kepada Allah selain dari isteri yang solehah. Jika orang mukmin itu memerintahnya, maka dia mentaatinya, jika orang mukmin itu memandangnya, maka dia membuatnya senang, jika orang mukmin itu memberinya pembagian, maka dia menerimanya dengan baik, dan jika orang mukmin itu tak ada disampingnya,maka ia akan menjaga diri dan hartanya.” (Riwayat Ibnu Majah)
Welcome to Youthjihad, a weblog where you see Jihad in a broader view. I create this blog to share my thoughts on any contemporary issue, preferably Islamic-related issue with hope to build concern among Muslim youth on Muslim World which is under scrutiny.
Interested parties, may reproduce or quote materials published with the condition that they are credited toYouthjihad
Subjects of Interest: Islamic Civilization, Comparative Religions, Philosophy & Spiritual(mainly on Al-Ghazali's and Ibnu Khaldun's works), Science & Technology, Politic, Anthropology and Psychology
ChatBox
Plz leave ur comment here.. no offensive words plz.. plz use the words that show u r a real muslim..thnx!