Thursday, May 22, 2008

Teguhkan Melayu dengan Identiti Islam

Oleh: Muhammad Faris Bin Roslan


Era pasca-pilihanraya ke-12 menyaksikan pelbagai pembaharuan dari segi ekonomi, pentadbiran mahupun perundangan. Ada pembaharuan yang baik dan tidak kurang juga yang mengundang kontroversi. Pastinya tiada lain yang diharapkan oleh rakyat melainkan mereka dibela dengan sewajarnya. Risiko yang diambil rakyat dengan memberikan sejumlah besar undi kepada pembangkang(Pakatan Rakyat) tentulah perlu dibayar dengan khidmat baik dan penuh ikhlas. Oleh itu, sedikit kesilapan mampu sahaja untuk menyesarkan para pemimpin Pakatan Rakyat dari kerusi empuk mereka. Mereka naik dengan kuasa rakyat, pastinya dengan mudah mereka mampu jatuh dengan kuasa rakyat juga. Rakyat Malaysia kini sudah begitu berani untuk keluar dari ‘zon selesa’ demi mencari kebenaran yang hakiki. Benarlah minda rakyat Malaysia sudah berubah! Namun, satu isu yang cukup sensitif mula timbul dek kerna golongan bukan Melayu telah mendapat kuasa politik yang semakin besar.

Ketuanan Melayu

Umno melahirkan kebimbangan terhadap isu ketuanan Melayu yang kononnya mula terhakis selepas PRU 12 baru-baru ini dan menyaksikan kebangkitan Pakatan Rakyat yang berjaya menawan 4 buah negeri daripada BN. Tambah memburukkan keadaan, hak keistimewaan Melayu dan Islam sudah berani dicabar. Melalui beberapa NGO, Umno mencanang isu ini ke serata pelusuk negara supaya diwujudkan perpaduan Melayu dengan segera sambil mengugut ketuanan Melayu akan hilang sekiranya penguasaan politik UMNO di dalam negara ini tidak dipertahankan. Jika dianalisa secara mendalam dan matang, tiada sebab yang logik untuk orang Melayu takut dengan isu ini sekiranya Melayu merupakan bangsa yang benar-benar kuat dan bermaruah.

Benar, Melayu adalah Tuan di Tanah Melayu suatu ketika dahulu dalam erti kata pemilik kuasa pemerintahan di Tanah Melayu. Bukan ‘Tuan’ dengan menganggap bangsa-bangsa lain yang turut mendiami Tanah Melayu sebagai ‘hamba’. Lihat saja di zaman kegemilangan Melaka. Cina, India, Arab mahupun bangsa-bangsa Eropah sudah lama bertapak di Melaka hasil daripada aktiviti perdagangan yang amat maju. Malah, Tun Mutahir yang difitnah itu juga ialah seorang Tamil Muslim. Daripada Era kesultanan Melakalah lahir istilah ‘Ketuanan Melayu’ hasil ketaatan rakyat Melaka yang tidak berbelah bahagi terhadap Sultan.

Bencana Bangsa Melayu

Kisah duka orang Melayu bermula daripada kejatuhan Kerajaan Melayu Islam Melaka pada 1511 kepada Portugis sehinggalah ke hari ini. Era Portugis membawa bencana mutlak dengan penjajahan fizikal dan minda yang tegar terhadap orang Melayu Islam. Di bawah beberapa dasar yang diamalkan, minda Melayu diubah menjadi bangsa yang lupa kepada ‘Tuan’ sebenar mereka. Melayu hanyalah bangsa yang mudah puas dengan apa yang ada dan hanya mampu tunduk terhadap segala perintah tanpa sebarang cabaran.

Semangat penentangan terhadap penjajah begitu cepat lemah kerana sikap Melayu pada masa itu yang suka lepas tangan. Dengan ini, agenda barat untuk merampas segala khazanah bangsa Melayu menjadi begitu mudah dengan Melayu sendiri yang memberi laluan. Buktinya, kita dijajah hampir 500 tahun dengan mudah tanpa usaha yang benar-benar jitu untuk menentang sehinggalah pertengahan abad ke-20. Paling malang, kemerdekaan yang dinikmati hari ini hanya diperolehi setelah pemimpin-pemimpin ketika itu setuju dengan beberapa syarat British yang pada hari ini, menimbulkan 1001 masalah dari segenap segi. Terutamanya dari aspek hak keistimewaan agama Islam. Akhirnya ia menjadi barah yang membunuh jiwa masyarakat Melayu secara perlahan-lahan.

Islam Kunci Identiti Bangsa

Melayu berkait rapat dengan Islam, ia ibarat isi dengan kulit atau aur dengan tebing yang tidak dapat tidak, pasti bersama. Demikianlah akrabnya pertautan di antara ke dua-duanya. Sehinggakan seseorang itu dianggap Melayu apabila memeluk Islam dan begitu juga menjadi Islam jika ianya seorang Melayu. Berbeza halnya dengan Melayu di negara-negara lain. Malah tiada bangsa di dunia ini melainkan Melayu Malaysia yang begitu sinonim dengan sesuatu agama. Waima bangsa Arab sekalipun yang merupakan bangsa yang menerima wahyu Allah. Tuntasnya, Islam itu adalah identiti bangsa Melayu yang hakiki

Renungkan sejarah kegemilangan Kesultanan Melaka. Bangkitnya Melaka menjadi satu dinasti terulung di seantero dunia bermula dengan Islam sebagai batu asas. Bermula dengan era Parameswara yang membuka Melaka. Diteruskan pula dengan pemimpin-pemimpin hebat seperti Sultan Alaudin Riayat Shah yang banyak mengimplementasikan dasar-dasar pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab dalam kerajaan pimpinannya. Lihat pula bagaimana Melaka jatuh? Melaka tersungkur dengan sikap pemimpinnya yang meninggalkan nilai-nilai Islam, fitnah, rasuah dan sebagainya. Natijahnya, Melayu hilang ketuanan.

Teguhnya Ketuanan Melayu, tidak dapat dinafikan lagi, hanyalah dengan kemajuan fizikal dan mental yang berpegang kepada identiti asal. Identiti asal Melayu ataupun jati diri Melayu adalah Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Bukanlah berdasarkan semangat nasionalisme yang membabi buta yang lahir dari kekeliruan ideologi para pemimpin yang rakus. Kita dapat melihat banyak contoh kecacatan semangat nasionalisme yang tidak berpaksikan ketuhanan ini(Divine revelation). Paling ketara ialah Tragedi Holocaust kaum Yahudi di zaman Adolf Hitler yang terlalu meretorikkan kebangkitan bangsa Aryan. Akhirnya, Yahudi menggunakan tragedi ini sebagai propaganda untuk menagih simpati dunia dan menghalalkan pembunuhan orang-orang Palestin demi memberi sedikit ruang kepada umat Yahudi laknatullah ini untuk ‘bernafas’. Jelas, terang lagi bersuluh.

Contoh yang lebih dekat, lihat saja ahli-ahli politik kita. Mencanang di sana sini kononnya merekalah pejuang bangsa, malah pejuang agama. Terutama sekali ketika musim pilihanraya. Tetapi hakikatnya, merekalah yang menyediakan kepada anak-anak muda hiburan-hiburan yang melampau dan aktiviti maksiat yang tidak terkawal. Akhirnya, melayulah juara dalam melahirkan anak-anak luar nikah, mat-mat rempit, AIDS/HIV dan sebagainya. Identiti Islam dicantas demi mengisi perut mereka, keluarga mereka dan kroni mereka. Kita pun keliru dengan keikhlasan mereka.

Berubah dari Sekarang

Jadi, apa yang perlu dilakukan? Pertama sekali minda umat Melayu ini perlu berubah. Berubah dalam ertikata menjadi lebih independen. Ya, benar kuasa politik masih lagi dipegang orang Melayu. Namun, mampukah ia bertahan dalam masa 50 tahun lagi? Dan adakah kita boleh dipanggil ‘Tuan’ sepenuhnya sedang kuasa ekonomi dan sosial masih di tangan orang lain? Kita boleh menjadi ‘Tuan’ dari persepsi yang lebih bermakna sekiranya sanggup berusaha sedaya mungkin dalam menguasai ilmu dan segala kemahiran yang ada di zaman serba canggih ini. Malangnya, yang berlaku dewasa ini, Melayu adalah bangsa yang terlalu banyak meminta-minta dan mengharapkan orang lain. Realitinya, Melayu banyak di’hamba’kan.

Melayu hanya mampu menjadi lebih independen dengan penguasaan ilmu yang mantap serta berpegang kepada nilai-nilai Islam secara menyeluruh. Hal ini akan mengembalikan Melayu dengan imej baru yang gagah perkasa dan disegani bangsa atau agama lain. Melayu tidak perlukan identiti barat, yang kononnya moden, yang lahir daripada kepincangan wacana pemikiran atheis mereka. Melayu sudah mempunyai identiti Islam yang pernah menjadi kuasa yang disegani dunia selama lebih 800 tahun lamanya sebelum kejatuhan Turki Uthmaniah pada tahun 1924. Lebih lama daripada mana-mana penjajah barat. Jelas, adunan Melayu dan Islam itu sudah cukup padu dan jitu. Yang tinggal, hanyalah untuk mengembalikannya sahaja.

Akhirnya, Melayu tidak lagi perlu melaungkan ‘Ketuanan Melayu’. Orang lain akan mengakui ‘ketuanan’ tersebut tanpa perlu ditagih. Contohnya, lihat di negara Perancis, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun. Tidak pernah timbul isu sebegini kerana mereka diakui oleh dunia sebagai bangsa yang kuat dengan kuasa ekonomi yang kukuh. Amerika Syarikat tidak perlu meminta-minta orang lain untuk menggelarkan mereka sebagai Pelindung Dunia. Malah mereka menyalah gunakan kuasa mereka tanpa sebarang halangan kerana mereka adalah bangsa yang independen dan mereka boleh dianggap sebagai ‘tuan’ bumi. Umat Islam tidak boleh dan tidak mampu menyalahkan mereka atas dasar berat sebelah ke atas umat Islam mereka kerana umat Islam masih bergantung kepada mereka dari segenap segi. Akhirnya, kita hanya menjadi bangsa yang suka meminta-minta.

Kesimpulan

Justeru, mari bersama melakukan revolusi hari ini agar menjadi satu dari catitan sejarah yang bakal terpahat sebagai generasi perubahan yang mengembalikan ketuanan Melayu Islam di bumi tercinta ini dan menjadi kebanggaan pada anak-cucu kita di kemudian hari kelak. Perubahan ini menuntut pengorbanan. Samada kecil atau besar pengorbanan yang diberikan tidak penting tetapi apa yang penting ialah kita telah bersedia ke arah itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Bangsa Melayu perlukan intelektual-intelektual muda yang segar, bebas dan kritis dalam berfikir. Marilah kita bersama mengorak langkah bagi menjayakan satu impian murni iaitu menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia ini yang mana pernah didaulatkan suatu ketika dahulu.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Teguhkan Melayu dengan Identiti Islam"

Post a Comment