Thursday, June 5, 2008

Minyak oh Minyak

Oleh: Muhammad Faris Bin Roslan

Perbandingan kuantiti RM1 Petrol pada 4 Jun dan 5 Jun

Sejak 3 tahun lalu, harga minyak dunia meningkat hampir 400 peratus daripada USD 30 per tong pada tahun 2005 hingga kini mencecah USD 130 per tong. Kenaikan yang melampau memaksa beberapa Negara menaikkan harga minyak dan mengurangkan subsidi untuk menjimatkan perbelanjaan Negara dan seterusnya mencari sumber pembangunan Negara.

Kenaikan Harga Membebankan

Semalam Kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pengurangan subsidi bahan api berkuatkuasa pada hari ini 5 Jun 2008. Harga bahan api, petrol dan diesel khususnya melambung sebanyak 41% dan 63%, menjadikan harga baru petrol RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter. Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini. Kerajaan juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan. Mengikut skim tersebut tersebut, kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM625 setahun - rebat bagi 800 liter di bawah harga baru. Pemilik motosikal pula akan diberi rebet RM120. Bayaran akan dibuat melalui wang pos. Rebet tersebut akan dibayar apabila pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.

Rakyat Malaysia yang selama ini dibuai dengan pelbagai kemudahan subsidi pastinya mengeluh dan tidak kurang juga yang menyalahkan kerajaan. Hal ini kerana peningkatan harga minyak ini akan terus menghimpit rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang saban hari terbeban dengan implikasi ketidakstabilan ekonomi ini. Pakar ekonomi pula meramalkan kadar inflasi akan meningkat daripada 2.7% kepada sekurang-kurangnya 4.7%.

Akar Permasalahan

Bagi menganalisa permasalahan ini dengan lebih mendalam, saya merasakan wajar untuk kita kembali kepada akarnya.

Fakta menjelaskan bahawa Malaysia mengeluarkan lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. Kadar penggunaan Rakyat Malaysia pula hanyalah 400,000 hingga 500,000 tong sehari. Hal ini bermakna Malaysia masih mempunyai lebihan sebanyak lebih kurang 250,000 tong untuk dieksport. Dengan menganggap hampir tiada peningkatan dalam kos pengeluaran, USD 100 setong iaitu beza harga minyak kini dan pada tahun 2005, diambil sebagai untung bersih. 250,000 tong yang dieksport sepatutnya memberi kita pulangan 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (Dua puluh tujuh bilion Ringgit).

Itu belum dikira dengan tambahan harga sebanyak USD 2 bagi minyak dari Malaysia yang sememangnya dikenali sebagai antara minyak yang paling berkualiti di dunia. Jadi minyak Malaysia sememangnya mahal daripada harga pasaran. Justeru peluang ini diambil pihak kerajaan untuk mengeksport secara relative lebih banyak minyak dan mengimport minyak dari luar yang lebih rendah kualitinya dan lebih murah. Natijahnya, Petronas dikurniakan keuntungan bersih lebih kurang RM70 billion. Satu jumlah yang cukup besar.

Rusuhan di Indonesia setelah kenaikan harga minyak diumumkan pada 26 Mei lalu

Ada yang mencadangkan agar kita penuhi keperluan dalam Negara dahulu sebelum mengeksport minyak kita ke luar. Namun, pemikiran kapitalis dan logic yang sanggup mengenepikan kesengsaraan rakyat demi pembangunan material yang pesat tidak mampu melihat relevan di sebalik langkah ini. Bagi mereka, peluang untuk membolot keuntungan hasil limpahan Petrodolar ini tidak harus disia-siakan. Kita boleh lihat bagaimana Negara-negara pengeluar minyak utama di seluruh dunia memenuhi keperluan domestic terlebih dahulu sebelum mengeksport lebihan pengeluaran minyak mereka yang hasilnya, rakyat mereka sendiri yang selesa. Brunei dan Saudi Arabia sebagai contoh. Dengan cara ini, harga minyak mereka kurang bergantung dengan pasaran dunia.

Perbandingan

Media arus perdana hari ini banyak membandingkan kenaikan harga minyak di Malaysia dengan Negara-negara seperti India, Singapura, Thailand, UK, US, Indonesia dan Filipina. Malaysia dianggap sebagai Negara yang menawarkan harga minyak paling rendah di Asia. Sebagai contoh, harga baru petrol dan diesel sebanyak RM5.20 dan RM4.33 di Singapura yang lebih mahal daripada Malaysia. Manakala di UK, harga petrol adalah lebih kurang RM7 seliter. Namun begitu, adalah tidak logic untuk membandingkan harga minyak Malaysia dengan Negara-negara tersebut memandangkan Malaysia ialah Negara pengeluar minyak dan mereka tidak. Tambahan pula, pendapatan per kapita mereka jauh lebih tinggi daripada Malaysia. Jadi, mari kita bandingkan harga minyak di negara pengeluar minyak lain. Adakah Malaysia yang paling rendah? UAE– RM1.19/litre Eygpt– RM1.03/litre Bahrain– RM0.87/litre Qatar– RM0.68/litre Kuwait– RM0.67/litre Saudi Arabia– RM0.38/litre Iran– RM0.35/litre Nigeria– RM0.32/litre Turkmenistan– RM0.25/litre Venezuela– RM0.16/litre MALAYSIA– RM2.70/litre.

Cara kenaikan pula agak mengejut. Baru beberapa hari sebelum ini kerajaan mengumumkan bahawa harga minyak baru hanya akan berkuatkuasa pada bulan Ogos. Namun, apa yang terjadi, kenaikan ini berkuatkuasa serta-merta. Malah, larangan mengisi minyak untuk kereta-kereta bernombor plat Negara jiran telah ditarik balik serta-merta. Jelas, ini penipuan yang amat besar! rebet yang diberikan pula tidak memberi apa-apa makna kerana kos hidup rakyat akan naik 100 peratus dengan kenaikan itu akibatnya rantaian (chain reaction) berubah apabila harga minyak naik. Yang menjadi mangsa jelas sekali golongan berpendapatan rendah. Pasti ramai yang terpaksa berhenti belajar atau lingkup dalam perniagaan dengan kenaikan harga secara mendadak ini. Rakyat jelas tertindas!

Penyelesaian

Waima apa sekalipun, berkeluh kesah tidak akan mengubah apa-apa. Ya, benar kita boleh berdemonstrasi dan sebagainya. Namun, ia hanya mampu memburukkan keadaan. Hanya perubahan minda pemimpin-pemimpin kita yang mampu memberi sinar baru kepada rakyat. Justeru, dalam masa terdekat, tiada apa yang mampu dilakukan melainkan dengan hanya berjimat!


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Minyak oh Minyak"

Post a Comment